KEMAMAN, 21 Mac – Sebanyak 1,800 bekas bubur lambuk telah diagihkan dalam Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir, semalam.
Pengarah program, Aliy Zainal Abidin Hazri, berkata, program itu melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh DUN Kijal, agensi kerajaan serta sukarelawan tempatan.
"Bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong ini diagihkan ke 26 JPKK yang dibahagikan mengikut lima zon utama.
"Insya-Allah, pada sebelah petang ini akan diedarkan kepada penduduk di setiap JPKK masing-masing.Semoga usaha ini memberi manfaat kepada semua," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, turut hadir memeriahkan program tersebut dan beramah mesra dengan para peserta.
Razali berkata program gotong-royong dan memasak bubur lambuk ini bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat tetapi juga mengekalkan tradisi memasak bubur lambuk sebagai simbol perpaduan di bulan Ramadan.
"Program ini yang juga merupakan acara tahunan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai setiap kali diadakan.
"Semangat kerjasama seperti ini wajar diteruskan kerana ia mencerminkan budaya masyarakat kita yang saling membantu dan berkongsi rezeki.