ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa

KEMAMAN, 13 Mac – Seramai 500 pelajar institusi pondok dan tahfiz dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu Majlis Iftar Institusi Pondok dan Tahfiz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang berlangsung di Dewan DITC, Kemaman semalam.

Pengarah program, Mohamad Rosli AB Rahman berkata, majlis tersebut bertujuan menghimpunkan pelajar tahfiz untuk mempereratkan ukhuwah selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian rohani yang bermanfaat.

“Majlis bermula pada jam enam petang diawali dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Isma Azim Ismaizam, tenaga pengajar dari Maktab Asy Syarif, yang memberikan peringatan mengenai kelebihan Ramadan serta kepentingan menuntut ilmu sebagai asas kejayaan dunia dan akhirat.

“Seramai enam institusi tahfiz terlibat dalam majlis ini, termasuk Raudhatul Hijrah, Maktab Asy Syarif, Madrasah Darul Uloom, Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Darul Huffaz TATI Skills, dan Madrasah Jamiah Raudhah Al Ilm,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.

Program yang dirasmikan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Suhaimi Embong, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan Pengerusi Jawankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Teluk Kalong, Mohd Zuki Abdul Ghani. 

Sementara itu, Razali berkata program itu bukan sahaja sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan jaringan antara institusi tahfiz dan pondok di DUN Kijal. 

“Saya berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai penghargaan kepada pelajar yang gigih menuntut ilmu agama,” katanya.  

Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para pelajar dan tetamu menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan.

 

 

 

 

 


Tag: