Akrab Ceriakan 45 Pelajar Asnaf Dan Miskin Menjelang Aidilfitri


KUALA NERUS, 21 Mei - Seramai 45 pelajar dari tiga buah sekolah sekitar Kuala Nerus yang terdiri daripada golongan asnaf dan miskin menerima sumbangan pakaian hari raya daripada Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (Akrab).

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil berkata, ia merupakan program tanggungjawab sosial tahunan kali kedua diadakan persatuan itu.

“Alhamdulillah hari ini kita telah selesai menjayakan satu program Corporate Social Responsibility (CSR) di antara program pegawai kita daripada  kumpulan Akrab.. Mereka ini adalah rakan kongsi sebagai kaunselor kepada  pegawai psikologi yang ada di Jabatan Setiausaha Kerajaan  Negeri (SUK).

“Program CSR membeli baju raya kepada murid kumpulan asnaf dan miskin  di Daerah Kuala Nerus yang dipilih daripada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Nanas, Sekolah Kebangsaan Bukit Cempaka dan Sekolah Kebangsaan Tok Jembal,” jelasnya.


Beliau yang juga penaung Rakan Akrab berkata demikian dalam sidang media selepas program Projek Baju Raya AKRAB 2019 Pasaraya Mydin Gong Badak, hari ini.

Tengku Farok berkata, walaupun perbelanjaan minima adalah berjumlah RM100 setiap orang tetapi jumlah pembelian pakaian hari raya tersebut adalah melebihi kadar itu.

“Jadi program ini (juga) memberi peluang kepada ahli Akrab untuk mengaplikasikan cara membimbing, cara memberi motivasi dan juga memberi impak (kepada pelajar) walaupun susah dan senang kehidupan bukanlah satu benda yang (menyebabkan) kita tidak boleh maju.

“Itulah benda yang boleh kita buat lagi  selain bersedekah..kita suruh pegawai kita  mengaplikasikan ilmu yang dia ada dalam bentuk kaunseling,” ujarnya.



Tag: