Aksi 'Orang Terbang' Tawan Jambatan Angkat

KUALA TERENGGANU, 7 Oktober- Kejohanan Antarabangsa Paramotor Terengganu yang menutup tirai pagi semalam berjaya menarik kehadiran sekitar 20,000 pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kehadiran seramai itu bagi acara yang julung kali diadakan merupakan satu respon positif terhadap penganjuran tersebut.

"Terima kasih urusetia program yang mana saya difahamkan ada penglibatan 26 peserta seluruh negara selama tiga hari. Tentulah kita pertama kali menganjur, kita tidak dapat lihat sebegitu ramai pengunjung, tetapi sebagai (acara) pemula memang Terengganu sesuai.

"Kita teruja dan sebagai kerajaan negeri, kita memang mahu program-program luar biasa yang memeberi cabaran kepada anak-anak muda Terengganu sebenarnya  dan untuk warga negeri dapat lihat apa itu paramotor.

"Insya-Allah kita cuba cadang supaya program ini dimasukkan dalam Calendar of Event (COE) Terengganu dan diadakan sekitar bulan Mei dan Jun. Inilah percubaan kita dan insya-Allah akan 'move foward' dalam membuka lagi ruang-ruang untuk buat kejohanan bertaraf antarabangsa di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri kejohanan berkenaan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu, semalam.

Hadir sama ialah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Terengganu, Mazshida Ruslal, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadhli Jusoh dan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Dr. Nasree Najmi.

Mereka diraikan wakil Malaysian Sport Aviation Feredation (MSAF), Aliyah Ihsan dan Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah TImur, Mohd Azizul Arif Yahaya.

Berlangsung selama tiga hari, seramai 26 peserta seluruh negara mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan iaitu Trike Launch dan Foot Launch.

Bagi Trike Launch, peluncur Hanizamal Abu Hanifah yang terkenal di media sosial sebagai Solo Ambush mengungguli tempat pertama dan membawa pulang pingat beserta hadiah wang tunai bernilai RM1,500.

Manakala, kategori Foot Launch pula dimenangi peluncur berusia 17 tahun, Muhammad Adib Humaidi Muhammad Alias yang turut membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500 dan pingat.

 


Tag: