Jalur Gemilang
Berita :
Terengganu Merdeka 4X4 Challenge 2026 Himpun 120 Peserta Seluruh Semenanjung
Terengganu Merdeka 4X4 Challenge 2026 Himpun 120 Peserta Seluruh Semenanjung
Muhammad Fakhruddin Bin Nordin
8 jam yang lepas
102

KEMAMAN, 5 September - Penganjuran Terengganu Merdeka 4X4 Challenge 2026 siri keenam mendapat sambutan luar biasa apabila berjaya menarik penyertaan seramai 120 peserta dari seluruh Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata, acara Terengganu Merdeka 4X4 Challenge kali ini memberi suntikan baharu buat kerajaan negeri dalam memastikan Terengganu kekal menjadi negeri eko-pelancongan dan dikenali di peringkat global.

"Saya difahamkan sebanyak 120 jentera offroad dari pelbagai kategori menyertai cabaran ini selama tiga hari tiga malam dan penganjuran kali ini sememangnya merupakan satu pencapaian yang agak luar biasa.

"Bagi edisi tahun 2027 pula, pihak kami melalui Jabatan Pelancongan Terengganu akan memberikan bantuan tambahan bagi membuka ruang yang lebih luas dengan kemasukan peserta dari luar negara seperti Thailand, Indonesia, Vietnam, Singapura, serta dari Sabah dan Sarawak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan acara pelepasan 4X4 di Bandar Baru Kuala Nerus, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman dan Azizi Zol, Pegawai Pejabat Daerah Dan Tanah Kuala Nerus 

Konvoi bermula di Dewan Jubli Perak Bandar Baru Kuala Nerus dan melalui beberapa lokasi utama termasuk Jalan Golf, Tok Jembal, Pantai Teluk Ketapang, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Dataran Shahbandar sebelum kembali ke Kuala Nerus.

Acara sukan ekstrem ini mengumpulkan peminat sukan lasak dari seluruh negara termasuk Pantai Barat, Pantai Timur, Utara, dan Selatan tanah air.

Kehadiran para peserta sekaligus membuktikan sukan lasak semakin mendapat tempat di hati komuniti offroader tempatan. 

Kepelbagaian kategori yang dipertandingkan kali ini disifatkan sangat luar biasa kerana merangkumi semua peringkat kebolehan pemanduan off-road, bermula daripada kategori kelas ringan (light class) sehinggalah ke kelas ekstrem yang menguji ketahanan jentera dan kecekapan navigasi peserta.

Program berprestij tersebut telah dimasukkan secara rasmi di dalam Calendar of Event (COE) pelancongan Terengganu sebagai usaha merancakkan lagi ekonomi sektor pelancongan negeri. 

Program tersebut telah berlangsung selama tiga hari bermula pada 3 hingga 5 September 2026 dan diharapkan Terengganu terus menjadi lokasi utama pemain-pemain sukan lasak pada masa akan datang.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan