• 13 Nov 2024 | 11 Jamadil Awal 1446

Amar Makruf Nahi Mungkar Pasangan 'Kurang Sopan'

Ahmad Shah dan Dr. Fauzi menasihati pasangan terlibat.
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Pelaksanaan penguatkuasaan syariah yang menjadi dasar kerajaan negeri terus diperkasakan melalui sesi dakwah kepada pasangan-pasangan yang difokuskan dalam program Amar Makruf Nahi Mungkar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Mohamed berkata, program tersebut merupakan salah satu langkah dakwah dalam usaha mencegah perlakuan kurang sopan terutama di kalangan belia.

“Malam ini, ada beberapa pasangan yang kita tahan setelah didapati mewujudkan suasana yang kurang baik di tempat awam.

“Sebanyak tiga pasangan kita tahan, bukan untuk didakwa ataupun kita bawa kepada pengadilan, tetapi kita lebih kepada hendak berdakwah dan memberi nasihat kepada mereka,” katanya.

Ahmad Shah menjelaskan program diadakan sebagai pendekatan dakwah kepada umum.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan di Dataran Pantai Batu Buruk, malam tadi.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Lajnah Dakwah Kuala Terengganu (LDKT) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berdekatan.

Turut serta, Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah, Pensyarah Kanan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Fauzi Yusuf yang berperanan menyampaikan tazkirah dan Ketua Polis Balai Kuala Terengganu, Md Nasri Md Nasir.

Menurut Ahmad Shah, tujuan utama program itu diadakan adalah sebagai pendekatan untuk menyampaikan pedoman kepada anak-anak muda khususnya yang berada di negeri Terengganu.
Risalah mengenai penjagaan aurat dan pencegahan maksiat turut diedarkan kepada orang ramai.
“Kami dapat memfokuskan beberapa pasangan malam ini yang memang daripada sudut etika, sudut hukum syariatnya mereka telah melanggar batasan tersebut.

“Jadi, proses seterusnya adalah memberi nasihat supaya mereka tidak mengulangi perbuatan yang boleh mendatangkan mudarat lebih jauh daripada pertemuan yang pada asasnya perkara biasa, tetapi mungkin boleh membawa kepada perkara yang lebih buruk,” katanya.

Secara umumnya, berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu, pasangan-pasangan terbabit boleh didakwa di bawah Seksyen 34 Perbuatan Tidak Sopan Di Tempat Awam, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.




Tag: