Ambil Vaksin Sebagai Ikhtiar - Abdul Hadi

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat supaya tampil mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19, sebagai ikhtiar untuk mengurangkan jangkitan wabak itu.

"Sepatutnya kena ambil vaksin dengan keadaan wabak yang ada. Menjadi tanggungjawab semua untuk jaga diri kita masing-masing.

"Kita orang Islam tak boleh berserah sahaja, ikhtiar kena ada. Mencegah penyakit sangat penting dan dituntut dalam agama," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Abdul Hadi, 74, menjadi salah seorang penerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini dan selesai mendapat suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech pada jam 10.11 pagi di Klinik Kesihatan Chendering.

Proses vaksinasi terhadap Presiden PAS berkenaan dibuat Ketua Jururawat Klinik Kesihatan Chendering, Raziah Hanim Mamat.

Menurutnya, beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas menerima suntikan vaksin berkenaan.

"Hari ini saya sudah disuntik dengan vaksin COVID-19, alhamdulillah tak berasa apa pun, proses yang dilakukan tadi macam biasa," ujarnya.

Beliau merupakan antara penerima vaksin COVID-19 selain bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, 96, di samping isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, 95.