Anak Bekas Pemandu Lori Sambung Pelajaran Ke UK




Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 13 Jun- Hidup tanpa  kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.

 Siapa sangka Tengku Muhd Ashraf Tengku Mamat, kepada pasangan Tengku Mamat Tengku Ngah bekas pemandu lori dan  Che Hasimah Ismail seorang surirumah akan menjadi kebanggaan kepada semua pihak terutama warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke United Kingdom (UK).

Anak bongsu dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Kuala Lumpur mendapat tajaan penuh dari Petronas untuk pembiayaian pengajiannya di UK.

 "Saya mendapat tajaan penuh dari Petronas, yang akan membiayai pengajian saya sepenuhnya apabila ke sana, dan sebelum ke sana, saya  akan mengikuti dahulu kursus  A level di Kolej Yayasan UEM, di bawah seliaan 'Cambridge'.

 "Saya pasti akan merindui Malaysia, terutamanya masakan disini dan berjanji belajar bersungguh-sungguh menimba pengalaman sebanyak mungkin.Rindu kepada keluarga sudah tentu terutamanya kepada ibu, namun teknologi sekarang memudahkan perhubungan malah  segala nasihat Ustaz Ghazali Sulaiman akan sentiasa saya ingat untuk dijadikan pedoman apabila berada di sana nanti," jelasnya  di Program Lambaiam Menara Gading (LAMEGA), anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru ini.


Seramai  73 pelajar  diraikan dalam dalam program berkenaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi merupakan anak-anak DUN yang  cemerlang  dan bakal  melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Sementara itu,  itu Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman begitu teruja apabila pada tahun ini berlakunya peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun lalu.

"Alhamdulillah , kesemuanya dapat dihimpunkan melalui sebaran melalui media sosial melalui facebook dan juga Whatsapp, yang kita sebarkan pada jam tiga petang semalam untuk adakan pertemuan ini.

"Namun kesemua mereka dapat hadir pada pagi ini tepat pada jam 10 pagi, amat gembira dan teruja dapat bertemu dengan mereka yang cemerlang ini," ujarnya.

Tambah beliau, pertemuan berkenaan bagi memberi pesanan kepada mereka agar belajar dengan bersungguh-sungguh dan jangan  menghampakan harapan orang tua.

"Nasihat saya juga supaya mereka tidak terkena kejutan budaya, dan perlu dekatkan diri dengan masjid serta surau… pergi dengan harapan dan pulang membawa kejayaan.

" Juga disarankan kepada mereka agar aktif berpesatuan, dan kita telah memberikan mereka sedikit sumbangan bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan juga sebagai tanda sokongan dari pihak DUN kepada mereka," ujarnya.



Tag: