Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
IPOH, 12 Januari - Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka.
Antara isunya ialah kesukaran memperoleh bantuan pendidikan disebabkan anak-anak mereka lahir di luar Terengganu, namun tidak mendapat kelebihan negeri tempat lahir berikutan ibu bapa berasal dari Terengganu.
Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk memberikan bantuan pendidikan yang diperlukan.
"Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan.
"Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana.
"Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Untuk makluman, selain bantuan pendidikan Terengganu turut menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang mengusahakan perniagaan di tempat lain.
Malah, ketika bencana banjir menimpa Lembah Klang beberapa tahun lalu, kerajaan Terengganu turut memberi bantuan pelbagai bentuk kepada anak-anak negeri yang terkena musibah dalam usaha meringankan beban mereka.