lightning-solid
Berita :
Anak Muda Ajil Raih Emas Asia, Harumkan Nama Terengganu Dan Malaysia
Anak Muda Ajil Raih Emas Asia, Harumkan Nama Terengganu Dan Malaysia
Rohayati Ripin
3 jam yang lepas
80

KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Anak muda Ajil, Kampung Bukit Diman, Asma' Mohd Nazri, mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia apabila meraih pingat emas pada Kejohanan 10th Asian Pencak Silat Championship 2026 di Vietnam, sekali gus menerima penghargaan daripada kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, kejayaan atlet muda itu membuktikan anak-anak Terengganu mampu bersaing di pentas antarabangsa jika diberikan peluang, latihan dan sokongan yang berterusan.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Asma' kerana berjaya mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia," jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian ketika menyambut kepulangan Asma di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, pada Jumaat.

Mengulas mengenai pengiktirafan kepada atlet berkenaan, Maliaman berkata kerajaan negeri akan memberikan penghargaan sebagai mengiktiraf kejayaan yang dicapai.

"Insya-Allah, pagi ini pun kita ada inisiatif segera," ujarnya ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada Asma.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri melalui Persatuan PESAKA Terengganu akan terus memperkukuh usaha mengenal pasti bakat baharu, meningkatkan latihan dan memperbanyak penyertaan atlet dalam kejohanan bagi melahirkan lebih ramai pesilat bertaraf antarabangsa.

"Silat bukan sekadar sukan, malah merupakan warisan tradisi yang menjadi lambang identiti dan jati diri masyarakat Melayu," katanya.
Menurutnya, Kampung Bukit Diman dan kawasan Ajil mempunyai beberapa persatuan silat yang masih aktif, antaranya silat gayung, silat tongkat serta aliran silat tradisional lain yang terus memainkan peranan dalam melatih generasi muda.

"Di Ajil sahaja terdapat tiga hingga empat persatuan silat yang aktif. Kita mahu menarik lebih ramai remaja menyertai persatuan ini supaya seni mempertahankan diri warisan nenek moyang tidak dipinggirkan atau dilupakan.

"Silat bukan sahaja membentuk disiplin dan jati diri, malah mengangkat imej serta identiti orang Melayu. Sebab itu kita mahu ia terus diperkasakan, bukan sahaja di peringkat negeri dan negara, malah sehingga ke peringkat antarabangsa," tambah beliau.

Justeru itu, Maliaman yakin Asma' yang masih muda mampu mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan, termasuk dalam kejohanan antarabangsa bakal disertainya nanti.


Tag :

Artikel Berkaitan