Krismas : 176 Anggota KPDN Terengganu Ditugaskan Pantau Harga
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Pusat Dagangan Ajil (ATC) kini menjadi mercu tanda baharu Hulu Terengganu apabila kompleks rumah kedai yang bernilai RM 18.25 juta itu mula beroperasi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Maliaman Kassim berkata, bangunan tersebut disewa oleh beberapa syarikat perniagaan.
“Bangunan ATC yang kita rasmi ini antaranya menempatkan Pasaraya Sabasun.
“ATC sekarang ini sedang dipenuhi oleh peniaga. Kalau di bawah, semua memang dah ada penyewa termasuk Sabasun. Cuma kita sekarang ini sedang tarik bank untuk buka cawangan di sini,” jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Karnival Pendidikan Sifar Keciciran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, beliau sedang merancang dan merangka pembangunan yang memfokuskan pembangunan institusi pendidikan untuk masyarakat Ajil.
“Sasaran saya adalah untuk membangunkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) setempat dan setaraf sekolah bersepadu menggunakan fasiliti, padang dan kemudahan yang sama cuma diuruskan oleh dua pengurusan yang berbeza.
“Sebab saya nampak kalau di Hulu Terengganu, Kuala Berang dan Telemong sudah ada mercu institusi pendidikan. Di Ajil yang merupakan laluan masuk dari Kuala Lumpur, Kuantan, Kota Bharu ke Kuala Terengganu melalui Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), tiada lagi pembangunan,” ujarnya.
Maliaman berkata, pembangunan yang sedang berjalan sekarang adalah Masjid Ajil yang bernilai RM12 juta.
Bangunan ATC tersebut mula diwartakan pada 2006 dan siap sepenuhnya sebelum diserahkan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Majlis Daerah Hulu Terengganu.
Selepas 10 tahun berlalu, premis perkedaian itu dirasmikan pada 27 April lalu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat.