Raja Muda Terengganu Mula Bertugas di Wisma Darul Iman

KUALA TERENGGANU, 10 Februari – Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli memulakan tugas rasmi di Wisma Darul Iman hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada jam 8.55 pagi disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Nara Setia, Penasihat Undang-undang negeri, Mohd Nawawi Ismail, serta Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. 

Baginda kemudiannya berangkat ke Pejabat Menteri Besar Terengganu di Tingkat 16, Wisma Darul Iman, diiringi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan barisan pegawai kanan kerajaan. 

Ketibaan baginda disambut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, dan satu pertemuan rasmi diadakan bagi membincangkan urusan pentadbiran negeri dalam suasana penuh muafakat.

Usai pertemuan tersebut, Yang Di-Pertuan Muda berangkat ke Bilik Gerakan Negeri di Tingkat 17 bagi sesi taklimat berkaitan pentadbiran negeri. 

Sesi ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, yang menyentuh pelbagai aspek utama pentadbiran, termasuk Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Jawatankuasa Pembangunan Negeri, Jawatankuasa Keselamatan Negeri, serta hubungan strategik antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

Setelah selesai sesi taklimat, baginda berangkat ke Tingkat 13, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), bagi memulakan tugas rasmi. 

Ketibaan baginda di UPEN disambut dengan penuh adat dan istiadat, dimulai dengan gimik perakam waktu masuk sebagai simbolik permulaan tugas baginda.

Imam Besar Negeri, Engku Omar Amiruddin Engku Ali turut hadir untuk memimpin bacaan doa selamat, memohon keberkatan atas amanah baharu yang dipikul oleh baginda.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) kemudiannya mengambil alih sesi penerangan berkaitan pentadbiran dan cara kerja di UPEN, bertempat di pejabat rasmi Yang Di-Pertuan Muda.

Sesi ini memberi peluang kepada baginda untuk lebih memahami peranan UPEN dalam merangka strategi pembangunan negeri yang lestari dan berdaya saing.

Menariknya, Program Penempatan baginda tidak terhenti di UPEN sahaja.

Mengikut jadual rasmi, baginda akan berkhidmat di UPEN sehingga 31 Julai 2025, sebelum meneruskan penempatan kedua di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) bermula 1 Ogos 2025 hingga 31 Januari 2026. 

Seterusnya, baginda akan ditempatkan di Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Nerus mulai 1 Februari hingga 31 Julai 2026. Akhir sekali, bagi melengkapkan pengalaman pentadbiran, baginda akan berkhidmat di Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) bermula 1 Ogos 2026 hingga 31 Januari 2027.

Program Penempatan di Jabatan-Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Terengganu ini juga merupakan langkah strategik dalam memperkasakan pemahaman baginda terhadap sistem pentadbiran negeri secara lebih mendalam sejajar dengan peranan baginda sebagai pewaris pemerintahan Terengganu.