Jalur Gemilang
Berita :
Rumah Melayu Jangan Tinggal Bangunan, Hilang Falsafah
Rumah Melayu Jangan Tinggal Bangunan, Hilang Falsafah
Rohayati Ripin
1 jam yang lepas
34

SETIU, 26 September – Rumah tradisional Melayu mungkin masih berdiri, namun warisannya boleh menjadi “tanpa roh” jika generasi akan datang tidak lagi memahami falsafah dan ilmu di sebalik pembinaannya.

Pengasas Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping berkata, masyarakat Melayu terdahulu bukan sekadar membina rumah yang unik, malah menerapkan falsafah dan kiasan yang mencerminkan cara mereka memahami alam, kehidupan serta hubungan sesama manusia.

“Kalau rumah masih ada tetapi tiada lagi generasi yang memahami falsafah di sebaliknya, ia menjadi warisan tanpa roh,” katanya ketika ditemui media selepas program Trail of Philosophy 2.0 di Terrapuri Heritage Village, di sini.

Menurut Alex, antara cabaran terbesar dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang ialah kehilangan rumah tradisional dan semakin berkurangnya tukang mahir dalam seni bina Melayu.

Katanya, peningkatan kos kayu turut menyukarkan usaha mengekalkan, membaik pulih atau membina semula rumah berkenaan.

“Bukan sahaja rumah yang mungkin hilang, tetapi ilmu dan kemahiran yang diwarisi sejak dahulu juga berisiko terputus sekiranya tiada usaha untuk memindahkannya kepada generasi baharu,” ujarnya.

Beliau berkata, penggunaan bahan binaan lestari dan konsep rumah pasang siap oleh masyarakat Melayu terdahulu juga mempunyai nilai yang masih relevan untuk dipelajari hari ini.

Bagi mengekalkan keaslian warisan di Terrapuri, katanya, kemudahan moden yang disediakan di situ dihadkan kepada keperluan tertentu seperti tandas dan penghawa dingin.

“Pelanggan kami lebih kepada kelompok khusus, terutama penggemar seni, budaya dan warisan,” katanya.

Mengenai Trail of Philosophy 2.0, Alex berkata program tahun ini dibuka kepada orang awam, berbanding penganjuran sebelumnya yang lebih berasaskan tempahan. 

“Program itu akan diteruskan sebagai acara tahunan dengan tumpuan lebih mendalam kepada warisan yang semakin pupus.

“Kita mahu membawa perhatian kepada warisan yang semakin pupus dan memberi ruang kepada masyarakat untuk memahami falsafah di sebalik seni bina tradisional,” katanya.

Menjelang Tahun Melawat Terengganu 2027, beliau melihat Terrapuri berpotensi menjadi pemangkin pelancongan negeri melalui pengalaman berasaskan warisan dan budaya.

“Terrapuri boleh menjadi katalis kepada pelancongan Terengganu,” katanya.

Menurutnya, pengalaman di Terrapuri merangkumi seni bina rumah tradisional, susun atur, jejak falsafah, landskap dan hidangan tradisional. Melaluinya, pengunjung berpeluang mengenali cara hidup, pemikiran serta nilai masyarakat Melayu terdahulu.

Katanya, Terrapuri menawarkan penginapan bermula RM429 semalam bagi Superior Villa, termasuk sarapan untuk dua orang, hingga RM959 semalam bagi Super Grand Deluxe Villa, termasuk sarapan untuk dua hingga tiga orang.

Tambah beliau, lawatan sehari pula ditawarkan pada kadar RM25 seorang, manakala pakej makan tengah hari atau malam berharga RM95 seorang.

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan