Video Promosi VisitMalaysia2026 Perlu Mencerminkan Majoriti Masyarakat Majmuk
Bayi Maut Terjerut Bidai Langsir
Muhammad Azhari Zul Azri |
Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan maut dipercayai terjerut tali bidai tingkap di rumahnya di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Dungun, petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, Muhammad Azhari Zul Azri dikatakan terjatuh dari sebuah sofa dan terjerut pada tali bidai langsir tersebut.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharuddin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian tersebut.
Menurutnya bayi terbabit dikatakan bermain bersendirian di sebuah sofa berhampiran dengan tingkap rumahnya manakala ibunya, Nor Yasmin Mat Yassin, 36 pula sedang solat Asar.
"Mangsa disedari tidak sedarkan diri oleh ibunya sebelum ibunya itu menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian itu," katanya.
Tambahnya, ketika kejadian suami mangsa, Zul Azri Hashim, 39, berada di tempat kerjanya yang terletak tidak jauh dari rumahnya.
"Bapanya bergegas pulang ke rumah setelah dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut sebelum mengejarkan mangsa ke Klinik Kesihatan berhampiran," katanya.
Jenazah Muhammad Azhari dibawa oleh petugas Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat |
Beliau berkata, pegawai perubatan yang membuat pemeriksaan mengesahkan bayi terbabit sudah meninggal dunia pada jam 7.30 malam.
Katanya, jenazah mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
"Proses bedah siasat akan dilakukan pada pagi ini bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu," katanya.