Oleh: Mohd Zulkifli Mat
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Bekas pemain bola sepak Terengganu era 90-an, Fadli Jalil yang menderita penyakit kencing manis dan serangan saraf menerima bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) di kediamannya di Bukit Besar semalam.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Fadhli atau lebih dikenali sebagai Weck mengalami kemerosotan kesihatan sejak Januari lalu akibat komplikasi penyakit berkenaan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan Weck terlantar di rumahnya dengan pergerakan yang terbatas.
"Alhamdulilah, selepas mengetahui keadaan lagenda bola sepak Terengganu ini saya bersama Setiausaha Agung PBSNT, Y.M Tengku Seri Bijaya Dato' Tengku Farok Hussin mengunjungi beliau di kediamannya.
"Sedikit bantuan kewangan kita hulurkan bagi meringankan beban Weck sekeluarga dan sebagai menghargai jasanya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini
Turut hadir, Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, jasa dan sumbangan Weck dalam arena bola sepak Terengganu cukup besar.
"Kita amat menghargai segala sumbangan veteran-veteran sukan negeri ini yang berjuang mengangkat nama Terengganu ke tahap tertinggi," tambah beliau.
Untuk rekod, Weck merupakan bekas pemain pertahanan Terengganu yang sering muncul bersama pasukan dengan jersi bernombor 6.