Jalur Gemilang
Berita :
Belanjawan 2027: Jurang Pembangunan Antara Wilayah Masih Belum Ditangani
Belanjawan 2027: Jurang Pembangunan Antara Wilayah Masih Belum Ditangani
Husaif Mamat
1 jam yang lepas
65

Perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat turut memberi perhatian kepada isu keadilan pengagihan peruntukan pembangunan antara negeri. Persoalan yang timbul bukan sekadar jumlah peruntukan yang diterima oleh setiap negeri, tetapi sejauh mana pengagihan tersebut mengambil kira keperluan sebenar, jurang infrastruktur dan keupayaan ekonomi negeri yang berbeza.

Dalam konteks ini, Ahli Parlimen Kemaman, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memperkenalkan Formula Penyamarataan Fiskal dan Pembangunan Antara Negeri yang lebih telus, konsisten dan berasaskan keperluan. Cadangan ini membuka ruang kepada penelitian yang lebih mendalam terhadap mekanisme pengagihan peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2027.

Meneliti pengumuman Belanjawan 2027, terdapat perbezaan dari segi keutamaan pembangunan negeri. Pulau Pinang diperkukuh melalui Dana Pelaburan Strategik RM100 juta bagi sektor semikonduktor dan pembuatan termaju, manakala Perak dipacu sebagai hab maritim dan automotif melalui Lumut Maritime Industrial City (LuMIC) serta Automotive Hi-Tech Valley.

Johor pula menerima komitmen pembangunan sistem transit e-ART, sementara Kelantan masih diberikan penekanan terhadap penyelesaian masalah bekalan air bersih dan banjir, termasuk perancangan Empangan Lebir serta pembinaan Loji Rawatan Air Machang.

Terengganu pula diberikan tumpuan terhadap ekopelancongan dan kemudahan pembetungan. Tidak dinafikan, Kerajaan Persekutuan turut meneruskan pembangunan ECRL, merancang sambungan ke Rantau Panjang serta melaksanakan projek tebatan banjir di Kelantan dan Terengganu.

Namun, perbezaan penekanan ini memperlihatkan cabaran pembangunan wilayah dimana sebahagian negeri sedang memperkukuh industri bernilai tinggi, negeri lain masih memerlukan perbelanjaan besar untuk menyelesaikan kekurangan infrastruktur asas.

Terengganu misalnya mempunyai kekuatan dalam industri minyak dan gas, petrokimia serta maritim. Pelabuhan Kemaman dan jaringan ECRL berpotensi menjadi pemangkin industri hiliran, pusat logistik dan pekerjaan berkemahiran tinggi.

Justeru, pengagihan pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penyelesaian kekurangan semasa, tetapi turut mengambil kira keupayaan negeri menjana pertumbuhan ekonomi baharu.

Persoalannya, apakah mekanisme yang digunakan bagi menentukan keutamaan pembangunan antara negeri? Tanpa kriteria pengagihan yang jelas dan boleh dinilai, sukar untuk memastikan peruntukan pembangunan benar-benar mengambil kira jurang infrastruktur, keperluan rakyat serta potensi ekonomi setiap negeri.

Menariknya, dalam Belanjawan 2027, Kerajaan persekutuan turut mengumumkan rundingan bersama Sabah dan Sarawak bagi memuktamadkan formula tahunan Pemberian Khas yang adil dan mampan, dengan kadar interim terkini berjumlah RM1.5 bilion.

Walaupun Pemberian Khas Sabah dan Sarawak mempunyai asas perlembagaan tersendiri, usaha membangunkan formula tersebut memperlihatkan kepentingan mekanisme pengagihan berasaskan kriteria yang jelas. Persoalannya, mengapa pendekatan berformula yang sama tidak turut dipertimbangkan bagi menentukan keutamaan peruntukan pembangunan antara negeri di seluruh Malaysia?

Bahkan, pengalaman negara luar seperti India menunjukkan bahawa pengagihan peruntukan pembangunan antara negeri boleh dipandu oleh formula yang jelas. Melalui Gadgil Formula dan kemudiannya Gadgil–Mukherjee Formula, India pernah menggunakan indikator seperti jumlah penduduk, pendapatan per kapita, prestasi dan keperluan pembangunan bagi menentukan pengagihan bantuan pembangunan kepada negeri.  Australia pula menggunakan pendekatan penilaian infrastruktur berasaskan bukti dengan mengambil kira keperluan pengangkutan, logistik, produktiviti dan kesalinghubungan wilayah. Pengalaman ini memperlihatkan bahawa keutamaan pembangunan boleh dinilai secara lebih sistematik. 

Formula Pembangunan untuk Semua Negeri

Justeru, Malaysia wajar mempertimbangkan Formula Pengagihan Pembangunan Antara Negeri yang mengambil kira jurang infrastruktur, kemiskinan, keluasan, keadaan geografi, kos pembangunan serta potensi ekonomi setiap wilayah.

Formula ini penting bagi mengelakkan jurang pembangunan terus melebar. Sepertimana yang berlaku dalam pengumuman Belanjawan 2027, negeri seperti Pulau Pinang dan Perak diberikan penekanan terhadap pengukuhan industri strategik dan ekonomi bernilai tinggi, sedangkan pengumuman bagi Kelantan lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah infrastruktur asas, manakala Terengganu kepada ekopelancongan dan pembetungan. 

Justeru, formula pengagihan pembangunan amat diperlukan bagi memastikan negeri yang masih berdepan jurang infrastruktur turut memperoleh pelaburan strategik bagi memperkukuh daya saing ekonomi, bukan sekadar memenuhi keperluan asas rakyat.

Pendekatan ini selari dengan prinsip al-’adl (keadilan) dan maslahah ’ammah (kepentingan umum) dalam Islam yang menuntut pengagihan sumber awam berdasarkan keperluan rakyat. Matlamat akhirnya ialah memastikan seluruh rakyat menikmati standard perkhidmatan awam yang setara dan peluang ekonomi yang adil, tanpa mengira negeri tempat tinggal sekali gus mencapai al-kifayah (kecukupan) yang dinikmati bersama.

Belanjawan 2027 tidak seharusnya sekadar menentukan projek yang diterima oleh setiap negeri, tetapi perlu menjadi asas kepada pembaharuan cara peruntukan pembangunan diagihkan. 

Tanpa formula yang jelas dan telus, negeri yang sudah maju berpotensi terus melangkah ke hadapan, sedangkan negeri yang masih berdepan kekurangan infrastruktur asas terus berusaha mengejar kemajuan. 

Keadilan pembangunan bukan sekadar memastikan setiap negeri menerima peruntukan, tetapi memastikan setiap negeri mempunyai peluang yang saksama untuk maju.

Oleh: Shafiyah Iqlima binti mohd Nadzri (Felo Penyelidik Terengganu Strategic Integrity Institute)

 


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan