Berbaki Seminggu Lagi Peluang Rakyat Terengganu Meriahkan Pesta Cahaya
KUALA NERUS, 4 Mei - Rakyat Terengganu masih lagi berpeluang menikmati keindahan dan keunikan pesta cahaya Luna Light Wonderland, di Kompleks Sukan Negeri Terengganu (belakang Stadium Tertutup) sehingga hujung minggu ini.
Pengasasnya, Mark Tan memaklumkan pesta cahaya yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyajikan lebih 1.3 juta lampu LED di kawasan seluas lapan ekar itu akan beroperasi sehingga 12 Mei ini, sebelum bergerak ke Kuala Lumpur dan Pekan, Pahang sebagai lokasi seterusnya.
"Di sini, kita sediakan lima tema hiasan lampu iaitu tema Animal Kingdom, Vision Ocean, Aquatic, Romance, LUNA Aerospace, Mystery Forest, Aurora Lights dan Main Mascot Luna yang mula dibuka pada hari raya ketiga lalu. Setakat ini, kami menerima reaksi yang baik dan kunjungan setiap hari mampu mencecah sehingga 4,000 pengunjung.
"Cuaca semasa ketika ini agak baik untuk pengunjung menikmati keunikan Luna Light Wonderland bermula jam 7.00 petang hingga 12.00 malam dengan bayaran serendah RM15 bagi dewasa, RM8 (kanak-kanak) dan pengecualian bayaran bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya.
Tarikan pelancongan yang 'berkunjung' ke Terengganu ini katanya, seharusnya dilawati rakyat Terengganu kerana ia memegang rekod The Malaysia Book of Record, Penganjuran Pesta Cahaya Terbesar di Malaysia bagi tahun 2023.
Selain itu, Luna LIght Wonderland turut memegang rekod Penganjuran Pesta Cahaya di Taman Tema Air (Melaka) sebelum ini.