Jalur Gemilang
Berita :
500 Anak Ikan Kelah Dilepas, Perkukuh Santuari Lata Tembakah
500 Anak Ikan Kelah Dilepas, Perkukuh Santuari Lata Tembakah
Norekwan Mamat
1 hari yang lepas
191

BESUT, 7 September - Sebanyak 500 ekor anak ikan kelah dilepaskan kali ke tiga di Santuari Ikan Kelah, Taman Eko Rimba Lata Tembakah, sempena penganjuran Lata Tembakah Outdoor Festival (LTOF) 2026.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, usaha pemuliharaan secara berterusan amat penting bagi memastikan kelangsungan ekosistem serta populasi ikan kelah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah berpotensi memperkukuh sektor ekopelancongan di Hulu Besut menerusi pembangunan produk pelancongan berasaskan alam semula jadi.

“Insya-Allah, usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa supaya Santuari Ikan Kelah Lata Tembakah dapat dikekalkan sebagai salah satu tarikan ekopelancongan yang unik dan berpotensi di Hulu Besut,” jelasnya ketika ditemui media selepas program.

Dalam pada itu, Mohd Husaimi merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu serta Jabatan Perikanan Negeri Terengganu atas komitmen dan kerjasama berterusan dalam merealisasikan usaha pembangunan Santuari Ikan Kelah di Taman Eko Rimba Lata Tembakah.

Beliau menambah, kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan usaha pemuliharaan khazanah alam berkenaan dapat dilaksanakan secara berterusan serta memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Pelepasan anak ikan kelah ini diharap dapat membantu memperkukuh populasi ikan kelah di kawasan berkenaan, di samping menjadikan Lata Tembakah sebagai destinasi ekopelancongan yang menarik, lestari dan berdaya saing di Hulu Besut,” ujarnya.

Pelepasan anak ikan kelah itu turut disempurnakan bersama Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Khazan Che Mat dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, YM Dato’ Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan