KUALA TERENGGANU, 10 November – Sebanyak 65 kampung di sepanjang pesisir pantai Terengganu dikenal pasti berisiko terjejas akibat fenomena air laut pasang tinggi yang dijangka berlaku sepanjang November hingga Disember 2026.
Paras air laut dijangka mencecah sehingga 3.00 meter di Kuala Terengganu dan 3.70 meter di Kemaman.
Kawasan berisiko itu melibatkan 13 muara sungai utama di seluruh negeri, bermula dari Besut di utara hingga Kemaman di selatan.
Penduduk yang tinggal di kawasan terbabit dinasihatkan supaya meningkatkan tahap kewaspadaan serta mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, terutama membabitkan keselamatan diri dan keluarga.
Antara kawasan dikenal pasti ialah muara Sungai Besut, Merang, Marang, Merchang, Paka, Kemaman, Setiu, Terengganu, Ibai, Dungun, Sura, Kemasik dan Kijal.
Di daerah Besut, lima kampung berisiko ialah Kampung Pengkalan Atap, Teluk Budu, Pantai, Nail dan Pachakan, manakala di kawasan Merang membabitkan Kampung Telaga Papan.
Bagi kawasan Marang, lima kampung dikenal pasti termasuk Kampung Rusila, Rhu Dua, Rhu Rendang, Darat Pak Chan dan Seberang Marang, sementara di Merchang membabitkan Kampung Merchang serta Pulau Rusa Baru.
Di kawasan Paka pula, empat lokasi berisiko ialah Kampung Kuala Paka, Tebing Tembah, Taman Seberang Paka dan Pinang Merah.
Sementara itu, di Kemaman, kawasan terbabit merangkumi Pulau Skepeng Kuala Kemaman, Pengkalan Cicar Bukit Kuang, Bakau Tinggi, Geliga Jambatan, Tanjung Bukit Mentok, Bukit Kuang, Dusun Nyior, Pengkalan Pandan dan Yak Yah.
Di daerah Setiu, lima kampung dikenal pasti iaitu Kampung Gong Batu, Pengkalan Gelap, Limau Nipis, Kuala Setiu dan Fikri.
Kawasan paling banyak disenaraikan ialah muara Sungai Terengganu yang melibatkan kawasan Seberang Takir, Ulu Takir, Pulau Duyung, Losong, Hiliran, Pulau Sekati, Pulau Ketam serta beberapa kawasan perumahan termasuk Taman Permint Perdana dan Taman Lembah Harapan.
Turut berisiko ialah tujuh kawasan di muara Sungai Ibai, termasuk Kampung Kubang Ikan, Taman Adis, Taman Chendering Utama, Taman Desa Setia, Kampung Laut, Sungai Derhaka dan Taman Desa MBKT.
Di Dungun pula, kawasan terlibat ialah Kampung Seberang Pintasan, Teluk Bidara, Tanjung Jara, Che Lijah, Rajawali, Alor Makbah, Bijangga, Temiang, Sungai Buaya dan Sungai Udang.
Selain itu, Kampung Sura di muara Sungai Sura, Kampung Baru Kemasik di muara Sungai Kemasik serta Kampung Che Wan di muara Sungai Kijal turut disenaraikan sebagai kawasan berisiko.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat serta perkembangan terkini berkaitan situasi banjir dan keadaan semasa melalui Portal Info Banjir Negeri Terengganu di https://infobanjir.terengganu.gov.my.
Penduduk juga diingatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan keadaan cuaca dan paras air serta mengutamakan keselamatan sekiranya berlaku peningkatan paras air laut.