Berkat Adalah Hasil Sinergi Amalan Pengeluaran ‘Halalan Toyyiban’

Haji Mohd. Nurkhuzaini mendengar taklimat pengeluaran produk kilang Sidratul dari pemiliknya, Ustaz Tajudin (kanan).
Oleh: Haji Sazali Mohd Noor

KUALA KANGSAR, 31 Oktober - Keberkatan perniagaan adalah hasil sinergi Amalan Pengeluaran Islam (Islamic Manufacturing Practice - IMP) yang mengamalkan konsep ‘Halalan Toyyiban’ di setiap peringkat.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Mohd. Nurkhuzaini Ab. Rahman menyeru para usahawan melaksanakan kombinasi kedua-dua perkara tersebut dalam kehidupan mereka.

“Kalau boleh saya masukkan dalam silibus (sukatan) ucapan saya, (kerana perkara) halal itu dia fokus kepada fizikal dan 'toyyiban' itu adalah spiritual kita. Kombinasi antara dua itu barulah lengkap.

“Banyak kita lihat orang yang biasa memperjuangkan (pengeluaran) halal ini kadang-kadang dari segi praktisnya tidak ‘toyyiban’.


“Bila tidak ada kombinasi, orang boleh sebut 'halalan' semudah tutur kata lidah sahaja tapi bila  'toyyiban' ia melibatkan spiritual kita yang payah kita nak adaptasi dalam diri kita,” tegasnya.

Menurutnya, ramai peniaga yang berupaya mengeluar dan menjual barangan serta perkhidmatan yang halal.

Namun katanya, ia tidak mendapat keberkatan dari Allah kerana para pengusaha atau peniaga itu tidak tunduk dan patuh kepada Allah semasa proses pengeluaran atau penjualan dijalankan.

Oleh itu, Mohd. Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata, antara amalan penting yang mesti dititik beratkan oleh para usahawan ialah sentiasa menjaga kebersihan dengan keadaan berwuduk pada setiap masa.

Beliau berkata demikian selepas melawat Kilang Sidratul Enterprise yang mengeluarkan produk kesihatan ‘Halalan Toyyiban’, di sini, semalam.

Sehubungan itu, pemilik industri kilang tersebut, Ustaz Tajuddin Arshad berkata, pengeluaran produk yang halal tidak semestinya ‘toyyiban’ atau baik kepada orang ramai.

“Produk halal senang atau mudah diperolehi dengan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.

“Tetapi untuk mendapatkan (status) ‘toyyiban’ itu melibatkan amalan rohani seperti memulakan pengeluaran dengan keadaan sentiasa patuh kepada Allah, berwuduk (bersih) dan melakukan solat serta berdoa kepada Allah,” jelasnya.


Menurut beliau, para pekerja Kilang Sidratul Enterprise mengamalkan Amalan Pengeluaran Islam dan memulakan tugas pada setiap pagi dengan bacaan Asma Al-Husna dan solat sunat Dhuha.

“Dengan itu, produk yang dihasikan bukan sahaja halal tetapi toyyiban yang bukan sahaja halal dan bersih, malah membawa keberkatan kepada para pembeli dan penggunanya insya-Allah,” tambah beliau.

Katanya, selain mengeluarkan produk kesihatan, kosmetik dan makanan tambahan, kilang beliau turut menerima tempahan untuk pengeluaran pelbagai produk pengguna yang lain.

Tag: