Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia

HULU TERENGGANU, 26 September – Bermula dari hobi memelihara haiwan, kini Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak memberanikan diri membuka mini zoo sendiri yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang dengan berkonsepkan 'petting zoo' .

Katanya, mini Zoo yang diberi nama “Rimba Razia” mempunyai 80 jenis spesies haiwan itu memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi serta selain memberi makan  sendiri kepada haiwan.

"Segalanya bermula dari hobi membela haiwan, sehingga jumlah haiwan dibela itu makin bertambah maka terdetik di hati untuk membuka sebuah zoo bagi membolehkan orang ramai juga merasai dan memberi makan sendiri kepada haiwan di sini.

"Kebanyakan haiwan di sini dari Eropah. Pelbagai haiwan yang signifikan di zoo ini antaranya unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang dari Eropah, Jepun, Thailand dan sebagainya.

"Selain dapat berkongsi minat bersama-sama dengan pencinta haiwan, sedikit sebanyak dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,"ujarnya ketika ditemui pemberita.

 

Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail hadir melawat Mini Zoo tersebut.

 

 

Menurut Zakaria, setiap hari khususnya waktu hujung minggu kehadiran pengunjung sama ada dari dalam dan luar Terengganu tidak  pernah putus untuk mengunjungi ke Mini Zoo tersebut.

Tambahnya, sejak dibuka zoo tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu.

"Baru lebih sebulan beroperasi. Alhamdulillah mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung di mana hampir 50,000 pengunjung direkodkan setakat ini sejak ia beroperasi 15 Julai lepas,"ujarnya lagi.