Berpuasa Jangan Dijadikan Alasan Malas Bekerja


KUALA TERENGGANU, 3 Mei - Masyarakat di negeri ini diingatkan supaya tidak  menjadikan alasan berpuasa sebagai malas bekerja, sebaliknya perlu bermotivasi untuk lebih berusaha, berdaya saing dan berjaya.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka  perlu menjadikan ibadah itu sebagai motivasi mengumpul amalan dan pahala untuk bekalan di akhirat kelak.

Katanya, sebagai seorang Muslim semestinya merasa gembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadan dan sama-sama bertekad menghayatinya dengan penuh keinsafan dan kesungguhan.

“Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu dan dirindui oleh setiap Muslim kerana di dalamnya terdapat berbagai-bagai keistimewaan dan kelebihan yang telah dijanjikan Allah SWT.






























"Persoalannya adakah kita sudah bersedia menerima kehadiran bulan yang suci itu dan apakah kehadiran bulan mulia itu akan kita sambut seperti tahun-tahun sebelumnya yang ada kalanya kita benar-benar beribadat kepada Allah dengan penuh kesungguhan dan ada kalanya kita sekadar memenuhi tuntutan amalan sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali di Wisma Darul Iman, semalam.

Ahmad Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri terus menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM2,000  kepada setiap masjid negeri dan daerah di Terengganu.

Manakala katanya, RM1,000 untuk masjid kerajaan dan mukim serta RM300 diagihkan kepada surau  untuk menyempurnakan  program Ihya' Ramadan.


“Oleh itu, diharapkan dengan sumbangan ini pihak jawatankuasa masjid dan surau dapat mengatur program-program pengimarahan masjid seperti ceramah dan majlis berbuka puasa dan moreh.

“Semoga dengan sumbangan itu diharapkan dapat menarik lebih ramai ahli qaryah ke masjid untuk mengerjakan solat tarawih, bertadarus dan pelbagai ibadat lain,” katanya.




Tag: