Bidikan Telefon Pintar Popularkan Terengganu Di Mata Dunia
KUALA NERUS, 16 Ogos – Dengan hanya menggunakan kamera telefon pintar, seorang pekerja barista Homs Bar and Cafe, Najmuddin Muif Zulkifli, 26, berjaya memperkenalkan keunikan Terengganu kepada hampir dua juta penonton melalui media sosialnya.
Lebih mesra disapa Muif, minatnya sejak dibangku sekolah dalam bidang fotografi mempopularkan lokasi menarik di Terengganu ke dunia luar melalui video dimuat naik ke Instagram yang meraih 1.8 juta penonton.
“Video montaj itu mendapat sambutan dan komen daripada Kanada, Thailand, United Kingdom dan banyak lagi bertanyakan dimana terletaknya tempat cantik di Terengganu.
“Malah ada juga komen daripada orang dalam negeri yang tidak tahu tempat dalam video itu, antara lokasi penggambaran seperti Bukit Maras, Kampung Tok Dir, Lata Payung dan lain-lain," jelasnya.
Katanya yang juga berasal dari Kuala Terengganu, syarikat pencipta Iphone iaitu Apple turut mempamerkan hasil videonya di profil rasmi Instagram dengan tatapan hampir 300 ribu tontonan, Mac lalu.
“Reaksi netizen secara tidak langsung mempromosikan negeri kita, Terengganu bukan sahaja mempunyai Jambatan Drawbridge dan Pasar Payang, tetapi juga penuh dengan kekayaan alam semula jadi.
“Puluhan ribu komen menunjukkan reaksi ‘baru tahu’ dan ingin melawat sini, saya pun tidak sangka hasil tangkapan guna IPhone 12 Pro dan Vivo x60 akan jadi popular.
Mengulas lanjut berkenaan hobinya, Muif menyifatkan ia sebagai satu kepuasan buat dirinya dalam usaha mendapatkan hasil foto alam sekitar terbaik.
“Untuk peroleh hasil terbaik ia perlukan kegigihan, contohnya, saya pernah keluar sebelum subuh untuk mendapatkan gambar permandangan matahari terbit di pantai sekitar.
“Saya juga pernah mendaki Bukit Keluang dan sanggup bermalam diatas untuk mendapatkan imej vista angkasa atau ‘milky way.
“Bila komposisi dan cahaya dalam mengambil gambar menjadi, imej ditangkap akan ada faktor ‘Wow’,” jelasnya.
Sebelumnya, hasil usaha graduan matematik pengkomputeran mendapat perhatian antarabangsa selepas berjaya memenangi pertandingan foto ‘NatGeoMoments of Joy Contest’ anjuran National Geographic, November tahun lepas.
“Mula-mula saya sekadar cuba nasib, tapi dengan hasil tangkapan Hutan Lipur Air Terjun Temurun, gambar saya dipilih antara tiga pemenang dan memenangi 1000 USD (RM 4,112.50),” katanya lagi.
Apabila diminta memberi nasihat bagi sesiapa yang ingin berjinak dalam bidang fotografi, Muif menjawab, jika ada minat, buat sahaja.
“Walaupun benda itu kita tidak mahir pada mulanya, tetapi terus tambah baik kemahiran itu, bagi saya, hasil berguru dengan jurufoto lain dan belajar sendiri banyak membantu dalam mengasah skil ini,” tambahnya.