Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’

KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris menafikan beliau memberikan kebebasan kepada pelancong terutamanya bukan Islam untuk berbikini di mana-mana lokasi pelancongan sebagaimana dilapor sebuah portal berita.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu menegaskan, kenyataan asalnya telah diputar belit pihak tertentu bagi membina persepsi negatif terhadap Terengganu.

“Saya hanya sebut jangan memakai sut renang di kawasan terbuka seperti Pasar Kedai Payang, saya tak sebut selain itu.

“Di tempat lain pelancong bukan Islam juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian dengan adab dan budaya Terengganu, tidak melampaui batas,” katanya selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkenaan, penyebaran berita itu tidak melemahkan semangatnya untuk menarik seramai mungkin pelancong Terengganu.

Justeru itu ujarnya, pihaknya tidak mampu menghalang mana-mana individu untuk membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri.

“Sebolehnya kita tak mahu ada krisis dengan sesiapa, kita ada cara tersendiri dalam membangunkan negeri.

“Pihak kerajaan memang sudah menduga pasti akan ada berita-berita tidak betul seperti itu, namun kita fokus dengan perancangan yang telah digariskan,” jelasnya.

Sebelum ini, Razali berkata, pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri.

Menurutnya, Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam.

"Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu," tambah beliau.


Tag: