KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Pembudayaan dengan cara memahami dan menghayati al-Quran mampu melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab, amanah serta berintegriti tinggi sekali gus menjamin kecemerlangan sesebuah organisasi dan kesejahteraan negeri.
Bagi membudayakan amalan itu di samping mengimarahkan bulan Ramadan, Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) menganjurkan Program Terengganu Bertadarus Majlis Khatam Al-Quran Perdana di Masjid At-Taqwa Durian Burung, di sini, baru-baru ini
Seramai 490 peserta di mana setiap 70 peserta mewakili setiap daerah kecuali Besut terlibat dengan program selama tiga hari bermula 7 Mei
Manakala penutup program yang dirasmikan Timbalan Pengerusi Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ridzuan Hashim, menglibatkan 100 peserta.
Peserta yang terlibat adalah kakitangan pejabat DUAT, Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Ridzuan berkata, program itu bertepatan dengan matlamat kerajaan negeri untuk melahirkan sebuah legasi masyarakat yang bertindak dan berfikir menurut acuan al-Quran.
“Lebih penting penganjuran itu sebagai medium dan peluang kepada masyarakat terutama penjawat awam negeri ini untuk berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal,” katanya.
Jelasnya, kerajaan negeri menyokong penuh usaha murni seumpama ini dalam memastikan masyarakat khususnya yang beragama Islam sama ada di peringkat bangku sekolah mahupun usia emas dapat mengambil peluang dan memastikan al-Quran itu sentiasa dekat di hati.
"Ia sebenarnya mengajak masyarakat mendalami intipati al-Quran dan tidak sekadar membaca dan menghafaz tanpa mampu menghayati isi dan pesanan yang disampaikan oleh Allah SWT,” katanya.