Cadangan ‘Terengganu Beach Game’ Jadi Acara Tahunan Akan Diteliti



Wan Sukairi.
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kerajaan negeri akan meneliti cadangan untuk menjadikan program ‘Terengganu Beach Game’ (TBG) sebagai acara tahunan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, keputusan itu bergantung kepada penganjuran berkenaan sama ada ia mampu memberikan impak yang positif kepada beberapa sukan yang dilaksanakan dalam program berkenaan.

Jelasnya, pembangunan rakyat dan perkembangan ekonomi negeri adalah dua aspek lain yang akan diberikan perhatian sekiranya program itu mahu dimasukkan ke dalam kalendar negeri.

“Kita juga akan melihat sejauh mana garis panduan yang telah kita berikan kepada penganjur diikuti dan dilaksaakan dalam TBG ini.

“Sekiranya ini semua menunjukkan perkembangan yang baik, saya rasa tiada masalah TBG ini untuk dijadikan acara tahunan dan dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri,” ujarnya.

Wan Sukairi bersama Persatuan Dodgeball Terengganu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengunjungi program tersebut di Dataran Pantai Batu Buruk, di sini hari ini.

Mengulas lanjut tentang garis panduan yang diutarakan kerajaan negeri untuk sukan pantai itu, beliau berkata pihak penganjur memberikan kerjasama yang baik.

“Hari ini saya turut melihat pelaksanaan dan bagaimana cara permainan ini berlaku, Alhamdulillah beberapa penambahbaikan telah dilakukan selepas pertemuan sebelum acara berlangsung sebelum ini.

“Beberapa syarat telah kita sepakat bersama dan hari ini saya melihat tidak berlakunya percampuran antara lelaki dan perempuan dalam satu pasukan,” tambah beliau.

TBG yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok menyajikan beberapa jenis sukan, antaranya Taekwando, ‘Dodgeball’ dan berbasikal.

Sukan taekwando turut dipertandingkan.




Tag: