Walau Disekat Royalti, Terengganu Kekalkan Pemberian Caj Wad Kelas 3 Percuma

KUALA TERENGGANU, 21 November - Walaupun menghadapi sekatan hak royalti, Kerajaan Negeri tetap meneruskan janji manifesto pada penggal lalu iaitu pemberian caj rawatan di wad kelas ketiga di hospital kerajaan secara percuma sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia membuktikan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat di negeri ini akan terus terbela.

"Cuma Kad Sejahtera telah ditangguhkan sementara pada tahun ini bermula pada April yang lalu dan masih belum disambung lagi.

"Insya-Allah sekiranya tidak ada apa-apa yang menghalang, kita telah pun mencari satu kaedah ataupun satu jalan bagi meneruskan Kad Sejahtera itu yang memberikan kelebihan kepada pemegang kad tersebut untuk mendapatkan rawatan di mana-mana klinik swasta dengan kadar RM500 setahun," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Dialog EXCO Kerajaan Negeri Bersama Rakyat Daerah Kuala Terengganu, di Dewan PPR HIliran, di sini, semalam.

Tambah beliau, kerajaan negeri akan mengumumkan bila Kad Sejahtera itu akan dikembalikan semula.

"Kita mempunyai komitmen yang bersungguh untuk meneruskan program Kad Sejahtera," ujarnya.