Cipta Kenangan di Jambatan Angkat

KUALA TERENGGANU, 2 Jun - Setiap pengunjung atau pelancong yang datang ke Terengganu tidak cukup hanya melalui Jambatan Angkat sebaliknya perlu singgah bagi menikmati dan merasai sendiri pengalaman berada di tempat tinggi dan menyaksikan pemandangan dari tingkat atas mercu tanda negeri Terengganu itu.

Rugi seandainya hanya berswafoto di Jambatan Angkat dari luar, kerana didalamnya menyediakan suasana hebat yang pastinya tidak terdapat di tempat lain dalam negara ini.

Ketua Pengawai Eksekutif TI Properties Sdn Bhd, Awasi Mohamad berkata, orang ramai boleh melawati galeri manakala untuk 'Hydraulic Tour' RM15 bagi kanak-kanak dan RM22 bagi dewasa berpeluang mencipta kenangan yang akan diabadikan sepanjang hayat.

"Dua panorama akan dapat disaksikan apabila berada di tingkat atas sama ada melihat ke arah laut ataupun ke arah sungai, adanya lantai kaca yang akan dilalui.

"Dimana satunya ditempatkan galeri pameran, manakala di sebelah menara Elysiun dibuka untuk dibuat tempahan untuk makan, mesyuarat dan juga perkahwinan dengan menyediakan pakej hebat pada harga yang berpatutan.

"'Hydraulic Tour' pula menyediakan kenangan serta pengalaman yang akan sentiasa dikenang sepanjang hayat, dimana pengunjung akan berpeluang melihat sendiri dan mendapat penerangan tetang operasi jambatan dan sistem yang digunakan serta akan berada di 'Pilecap' tingkat bawah dalam suasana berada tengah sungai," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini.

Ujarnya, sejak ia mula dibuka hingga kini, jumlah kehadiran pengunjung setiap tahun adalah seramai 100,000 yang memberikan maklum balas yang sangat baik.

"Pada tahun ini serta tahun seterusnya kita menyasarkan pertambahan pengunjung melalui beberapa strategi yang akan dilakukan bagi memeriahkannya lagi antaranya ialah akan membuka kafetaria yang kini sedang dalam perbincangan dengan 'vendor' untuk dibuka di dataran tepi sungai dan akan mempelbagaikan lagi produk.

"Dalam bulan Jun ini juga kita akan buka permainan yang akan menggunakan sistem 'virtual reality' yang akan ditempatkan di tingkat dua galeri.

"Kita berharap agar pengunjung dari dalam Terengganu ataupun luar supaya datang ke Terengganu sila naik ke tingkat atas ini bukan lalu sahaja untuk cipta kenangan lebih indah untuk dibadikan kerana keunikan yang ada di sini tidak akan diperolehi di tempat lain," ujarnya.

Katanya waktu yang dibuka pada setiap hari biasa adalah jam 10 pagi hingga 7 malam pada hari cuti pula akan berlarutan sehingga jam 10 malam.

 


Tag: