Jalur Gemilang
Berita :
CJ Bio Tutup Operasi, 383 Pekerja Terima Pampasan - EXCO Terengganu
CJ Bio Tutup Operasi, 383 Pekerja Terima Pampasan - EXCO Terengganu
Noraini Jusoh
4 jam yang lepas
249

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Syarikat swasta dari Korea Selatan, CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd. memberi komitmen untuk membayar pampasan mengikut syarat ditetapkan kepada pekerja yang terjejas susulan penamatan operasi premisnya di Kerteh secara berperingkat bermula 15 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, penamatan operasi itu melibatkan 383 pekerja, dengan pihak syarikat memberikan komitmen untuk mematuhi  peruntukan Akta Kerja 1955 berhubung penamatan perkhidmatan mereka.

“Alhamdulillah, pihak CJ Bio memberi komitmen penuh dan mematuhi peruntukan Akta Kerja dari segi penamatan perkhidmatan, termasuk pemberian pampasan yang setimpal mengikut syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan rasmi bersama pengurusan CJ Bio bagi mendapatkan penjelasan secara langsung mengenai status operasi syarikat berkenaan.

Menurut Nurkhuzaini, pihak pengurusan mengesahkan keputusan penamatan operasi tersebut dibuat secara rasmi oleh ibu pejabat syarikat di Korea Selatan.

Katanya, berdasarkan penjelasan syarikat, keputusan itu diambil berikutan cabaran ekonomi global, termasuk peningkatan harga bahan mentah serta persaingan harga yang sengit daripada pengeluar antarabangsa, khususnya China.

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memberikan sokongan dan bantuan bagi menjaga kebajikan serta membantu pekerja terjejas mendapatkan pekerjaan baharu.

Sehubungan itu, Terengganu Human Resource Development Centre (T-HRDC) telah meminta data lengkap pekerja terbabit daripada pihak syarikat bagi melaksanakan pemadanan pekerjaan.

“Maklumat ini akan dipadankan dengan pangkalan data keperluan tenaga kerja industri mengikut kelayakan dan kepakaran masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sedang menjalankan sesi temu duga berfokus di tapak operasi bermula 4 Oktober bagi membantu pekerja mendapatkan tawaran pekerjaan baharu secepat mungkin.

Nurkhuzaini berkata, agensi kerajaan negeri dan persekutuan akan terus mendampingi pengurusan CJ Bio bagi memastikan proses peralihan serta penamatan operasi berjalan lancar dan berhemah.

Sementara itu, beliau memaklumkan bahawa Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mengenal pasti pelabur baharu yang bersesuaian untuk mengambil alih atau menggantikan operasi di tapak berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri turut bersedia membantu memudah cara urusan pelepasan tanah pajakan tersebut secara tersusun demi kepentingan pembangunan ekonomi negeri.

Beliau berharap usaha berkenaan dapat memelihara punca pendapatan dan kebajikan pekerja terlibat, di samping memastikan ekosistem industri di Kerteh kekal berdaya saing.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan