Shahrizat (tengah) dan Ahmad Razif menghidangkan makanan dari 'food truck' kepada tetamu pada Majlis Perasmian Food Truck@ Pasarnita di Shahbandar, Kuala Terengganu. Foto Oleh: Zulkifli C.W Putra |
Dalam usaha menggalakkan wanita terbabit dalam bidang perniagaan dan keusahawanan, Pasarnita tapak kekal kedua bakal dibuka di Kuala Lumpur Oktober ini.
Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Iktisas Jabatan Perdana Menteri (JPM) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, program di bawah JPM itu pada masa kini telah berjaya dilaksanakan di Terengganu.
“Terengganu menjadi negeri pertama yang menyahut seruan Perdana Menteri untuk mewujudkan pasarnita di tapak kekal dimana satu tapak perniagaan tetap yang dikhususkan untuk golongan wanita menjalankan perniagaan yang beroperasi di Kampung Tanjung Kuala Terengganu.
“Dalam sebulan dua ini Perdana Menteri akan lancarkan tapak kekal Pasarnita di Kuala Lumpur dan kita sasarkan tiap-tiap negeri ada tapak kekal pasarnita, mencontohi negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Food Truck@ Pasarnita di Shahbandar, Kuala Terengganu yang disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, hari ini.
Menurut beliau, dengan adanya Pasarnita ini akan menjadi satu platform kepada usahawan wanita untuk mengembangkan perniagaan mereka serta memberi ruang dan peluang untuk mempromosikan produk masing-masing.