KUALA TERENGGANU, 19 Mac - Persidangan Pembukaan Penggal Ketiga Bagi Mesyuarat Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 26 Mac ini akan dilaksanakan separuh hari sahaja.
Yang Dipertuanya, Dato’ Yahaya Ali berkata ia bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai wabak COVID-19 yang sedang melanda ketika ini.
Justeru itu katanya, persidangan yang akan diadakan pada 23 Mac nanti akan berlangsung separuh hari sahaja sebagaimana yang telah diperkenankan oleh Kebawah DYMM Tuanku Al-Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah
Tambahnya, persidangan kali ini juga akan berlangsung tanpa Istiadat Pembukaan oleh Kebawah DYMM Tuanku Al-Sultan seperti tahun-tahun sebelum ini.
“Kebawah DYMM Tuanku Al-Sultan tidak akan berangkat tetapi baginda akan menghantar Perutusan Bertulis yang akan dibaca oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada hari pembukaan persidangan.
“Perkara ini dibolehkan menurut Peraturan 37 Undang-Undang Bagi Kerajaan Negeri Terengganu,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau lagi, menurut Perkara 16(1), Peraturan-Peraturan Dan Perintaj-Perintah Tetap, Yang Dipertua DUN mempunyai kuasa untuk menetapkan Tertib Pekerjaan Dewan mengikut pertimbangannya.
“ Oleh itu, persidangan pada kali ini tidak akan melibatkan ketua-ketua jabatan serta pemerhati dan hanya akan dihadiri oleh Ahli-ahli Yang Berhormat sahaja dengan mematuhi arahan penjagaan dari Majlis Keselamatan Negara yang telah ditetapkan,” katanya.
.