Dakwaan Idris Hanya Provokasi Murahan

HULU TERENGGANU, 9 November - Calon Perikatan Nasional (PN-PAS) Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menganggap tuduhan yang menyatakan dirinya masih berjiwa UMNO sebagai satu provokasi pihak pembangkang bagi meraih undi di Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Katanya, tohmahan itu bertujuan untuk melemahkan sokongan rakyat di Hulu Terengganu terhadapnya terutama penyokong PAS.

“Saya menghormati Tan Sri Idris Jusoh sebagai ‘sifu’ saya yang banyak mengajar cara mengurus dan juga menjadi pemimpin. Sebelum saya berhijrah parti, saya dah maklum kepada beliau dan pada peringkat awal dia bersetuju saya berhijrah daripada UMNO kepada Bersatu.

“Kalau dia kata saya masih berjiwa UMNO walaupun bersama PAS, itu adalah provokasi sebab saya nampak tiada isu orang nak ‘serang’ saya berkaitan rasuah, tidak berakhlak, isu projek dan sebagainya setakat ini sejak 1999 lagi hingga sekarang, Alhamdulillah.

“Pembangkang akan mencari isu untuk melemahkan saya. Paling penting saya berhijrah daripada satu kelompok yang dipimpin oleh mereka-mereka yang tidak amanah kepada kelompok yang setakat ini amanah,” katanya kepada pemberita di Kompleks al-Kawthar Kubang Lembek, Manir, di sini hari ini.

Rosol yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu  berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ahli Parlimen Besut, Idris Jusoh bahawa, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu adalah individu yang berjiwa Umno.

Dalam masa yang sama, Idris percaya penyokong PAS di Parlimen itu berat hati untuk membantu kempen dan menyokong calon PN, Datuk Rosol Wahid yang merupakan bekas pemimpin UMNO.