Azmi menunjukkan sebahagian daripada produk pes yang dijual di Road To Maha. |
Pemilik Tenang Recipe, Azmi Alias, 34, juga mengakui cabaran yang diharungi bukan mudah dan memberikan seribu satu kekuatan untuk tampil seperti hari ini.
Bermula secara kecil-kecilan, perniagaan Tenang Recipe hanya berbekalkan modal awal RM5,000 dan melakukan segalanya di rumah dengan pertolongan isteri, Noor Shahirah Hassan, 32 dan tiga anak saudara.
Katanya lagi, bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian dan bukan mudah untuk bergelar seorang usahawan hebat sekiranya tiada ilmu dan pengalaman, tambahan pula, apabila terpaksa bermula dari bawah.
“Jika diimbau kembali pada 2016, daripada merangkak hingga mampu berjalan dan kini berlari, sampai satu tahap saya pernah mendapat hanya RM35 sebulan dari jualan pes ikan bakar.
“Dulu saya bermula dengan menjual 100 paket sebulan sahaja dan ia sebenarnya membina satu kekuatan yang sukar digambarkan dengan kata-kata apabila hanya separuh sahaja yang berjaya dijual.
"Namun ia berubah melalui penganjuran karnival oleh kerajaan negeri untuk usahawan seperti Road To Maha dan ekspo keusahawanan yang telah memberi ruang dan peluang baru untuk saya berjaya dan kini pendapatan saya mencecah RM30 hingga RM40 ribu sebulan,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) ketika ditemui di Road To MAHA di perkarangan Pejabat MARDI, Manir, kelmarin.
Bagi Azmi, penganjuran karnival seperti ini, bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan para usahawan bumiputera, malah memperluaskan lagi rangkaian perniagaan usahawan-usahawan terbabit di seluruh negeri ini.
Kini perniagaannya mula menakluki pasaraya utama di negeri ini seperti Sabasun dan mempunyai agen-agen jualan di Kuala Lumpur, Kedah dan Perak dalam masa setahun sahaja selepas menyertai lebih dari 20 ekspo dan karnival usahawan di semua peringkat.
Dalam pada itu, Azmi berkata, produk pes makanan sedia hidang yang dihasilkan seperti sos ikan bakar, sos tiga rasa, sos namprik pau dan sos BBQ itu mempunyai kelebihan tersendiri yang memang sedap dan mudah digunakan.
"Produk-produk ini diproses secara moden tetapi kesedapannya tetap asli malah mudah digunakan kerana semuanya cukup rasa dan yang penting ia tanpa bahan pengawet," tambahnya.