KUALA TERENGGANU, 28 September - Dasar Wanita Terengganu yang mengandungi pelan bagi memelihara dan memartabatkan kaum hawa akan dilancarkan esok sempena sambutan Hari Sayyidatina Aishah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md.Noor berkata, dasar tersebut akan dibuku dan diedarkan kepada seluruh masyarakat bermula Khamis di program berkenaan.
"Jadi saya berharap agar orang ramai dapat menghadirkan diri bagi mengetahui apa peranan, objektif dan bagaimana gerak kerja yang perlu dilakukan untuk sama-sama menjadikan negeri Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dijemput bagi memaklumkan mengenai program tersebut di Selamat Pagi Terengganu, TV Darul Iman, di sini, semalam.
Katanya, Hari Saidatina Aisyah itu juga akan dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusof yang merasmikan hari berkenaan sekali gus menyempurnakan perasmian pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu.
"Antara objektifnya pelaksanaan dasar ini juga adalah untuk menjadikanya saluran yang tetap dan berkala bagi membincangkan isu-isu wanita di mana matlamat kerajaan juga untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada wanita.
"Kita memiliki ikon-ikon wanita dalam pelbagai bidang oleh kerana itu pada sambutan kali ini juga kita akan memilih beberapa tokoh yang akan diberikan anugerah, iaitu ikon remaja, ikon orang kelainan upaya cemerlang, tokoh anugerah bakti yang dipilih dari kalangan wanita terbaik," ujarnya.
Katanya lagi, antara pengisian yang dinanti-nanti pada Sambutan Hari Saidatina Aisyah pada kali ini adalah penampilan istimewa selebriti dan juga pendakwah dari Indonesia, Oki Setiana Dewi yang akan bersama dengan rakyat Terengganu menerusi slot khas pada sebelah petang.