KUALA TERENGGANU, 21 November - Urus Setia Wanita Negeri Terengganu (USWa) mengharapkan pelaksanaan Dasar Wanita Terengganu disambut baik oleh semua pihak di negeri ini dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan golongan berkenaan.
Pengarahnya, Wan Nur Sakinah Din, berkata bagi memastikan dasar yang julung-julung kali diperkenalkan oleh kerajaan negeri dapat direalisasikan, semua pihak sama ada Badan Berkanun, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan anggota masyarakat dituntut untuk saling bekerjasama.
"Seminar Wanita Solehah Peneraju Bersama yang diadakan pada hari ini adalah untuk diberikan penjelasan dan penerangan apa yang akan menjadi fokus serta terkandung dalam dasar tersebut.
"Kita tampilkan semua perunding yang telah menulis tentang Dasar Wanita Terengganu ini, kepada peserta seminar yang hadir melibatkan agensi kerajaaan, badan berkanun dan NGO untuk diselaraskan bagi mencapai kefahaman bersama mengenai dasar ini yang mengandungi 11 perkara.
"Di antaranya ialah hak dan tanggungjawab wanita, juga mencakupi aspek pendidikan, pembelaan terhadap wanita yang ditindas, mengenai hak dan nafkah, pewarisan harta yang mana kesemua ini akan dibincangkan secara kolektif.
"Kita tahu bahawa wanita pada hari ini memainkan peranan penting dalam pebagai sektor pekerjaan tidak hanya menumpukan perhatian pada keluarga, jadi dasar ini bertujuan memperkasakan mereka dalam menghadapi cabaran pada hari ini yang ingin kita gerakkan mengikut syariat Islam," ujarnya .
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), pada Perasmian 'Seminar Wanita Solehah Peneraju Bersama', yang disempurnakan oleh Timbalan Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanit, keluarga dan Perpaduan NAsional, Alias Harun di Permai Hotel, di sini pada hari ini.
Seminar yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dengan kerjasama USWa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu dan Majlis Permuafakatan Wanita Terengganu itu telah dihadiri oleh 140 peserta wanita.
Dalam pada itu Alias berkata, besar harapan kerajaan agar dasar berkenaaan dapat dilaksanakan dengan baik.
"Saya menyeru semua pihak berpadu tenaga dalam menjayakan agenda ini agar semua wanita dapat diperkasakan secara inklusif agar lebih ramai yang mendapat manfaat dan diangkat martabatnya ke tempat yang terbaik.
"Dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, kerajaan negeri telah memberi suatu fokus kepada wanita dan tahniah USWa atas desakan dan cadangan untuk keperluan, maka kerajaan negeri telah meluluskan RM400,000 bagi tujuan untuk pembangunan wanita termasuk melaksanakan dasar berkenaan," katanya.