lightning-solid
Berita :
Daun Teja Rahsia Unjam Nelayan Terengganu Tahan Lama, Pikat Ikan
Daun Teja Rahsia Unjam Nelayan Terengganu Tahan Lama, Pikat Ikan
Hidayah Azlin
10 jam yang lepas
71

TERENGGANU, 21 Julai – Penggunaan daun teja kini menjadi pilihan utama komuniti nelayan tempatan di negeri ini bagi membuat unjam atau tukun tiruan tradisional, berikutan ketahanan dan keupayaannya menarik hidupan marin dengan lebih berkesan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, dedaun berkenaan lazimnya digandingkan bersama daun kelapa disebabkan ciri-ciri fizikalnya yang sangat praktikal di dalam air.

Menurut beliau, antara faktor utama daun teja menjadi pilihan ialah keupayaannya mengeluarkan aroma dan bahan semula jadi tertentu yang disukai oleh hidupan laut.

"Struktur daun teja didapati lebih tegar, liat dan tidak mudah reput atau hancur apabila dipukul arus berbanding sesetengah daun lain. Ini membolehkan unjam bertahan untuk tempoh yang lebih lama di dasar atau permukaan laut," katanya melalui kenyataan, di sini, baru-baru ini.

Dr. Azman menambah, rimbunan daun teja yang tebal juga menyediakan persekitaran serta tempat perlindungan yang amat baik untuk pelbagai spesies hidupan marin.

Keadaan itu secara tidak langsung menarik kehadiran kelompok ikan pelagik kecil, yang seterusnya memancing kedatangan ikan komersial bersaiz lebih besar ke kawasan unjam berkenaan.

Inisiatif penggunaan bahan semula jadi seperti daun teja ini bukan sahaja menjimatkan kos nelayan, malah membantu meningkatkan hasil tangkapan sekali gus menyokong keterjaminan bekalan makanan marin di Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan