KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu (UBSNT) dengan kerjasama Jabatan Amal Malaysia hari ini mengadakan kempen dan program derma darah bagi membantu kekurangan bekalan di Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang hadir melawat program berkenaan memaklumkan, kekurangan bekalan darah yang berlaku disebabkan penurunan trend menderma dalam kalangan orang ramai.
"Memang saya difahamkan bahawa kita kekurangan darah berbanding sebelum ini kerana kekerapan orang ramai ke hospital untuk menderma semakin berkurang akibat Covid-19 ini sedangkan penggunaan darah masih berjalan.
"Pihak kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh berbincang untuk mengadakan kempen-kempen seperti ini di mana pihak Jabatan Amal Malaysia dan UBSNT juga telah mengadakan kempen untuk menarik lebih 5,000 penderma.
"Tentunya dalam kalangan rakyat ada yang masih sihat dan boleh membantu, inilah masanya untuk memberi sumbangan kesihatan di negeri ini," katanya selepas meninjau perjalanan program terbabit hari ini.
Berkenaan Covid-19, Dr. Samsuri percaya usaha sedang dibuat dengan serius pada peringkat kementerian melalui pelaksanaan pelbagai langkah oleh kerajaan.
"Pada peringkat negeri dan negara, kita akan terus mencari jalan bagaimana untuk mengawal penularan ini. Ia memang tidak mudah dicapai, tetapi kita komited bahawa selepas dua minggu ini akan ada penurunan," tambahnya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Transfusi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Muhammad Muhaimin Kambali menyatakan, status bekalan darah di Terengganu masih mencukupi.
"Bekalan darah kita setakat ini mencukupi untuk tempoh tujuh hari berikutan penggunaan juga menurun kerana kurangnya kes kemalangan jalan raya.
"Namun, dengan trend pendermaan darah yang turut menurun secara drastik, kita bimbang kalau berterusan bekalan darah kita akan berkurang. Jadi, kita ambil tindakan drastik untuk mengumpulkannya," katanya.
Menurutnya, penggunaan bekalan darah di negeri itu dalam tempoh seminggu adalah sekitar 350 pain darah.
"Tetapi, kita hanya dapat kumpul sebanyak 150 pain darah minggu lalu, kurang 200 pain bagi penggunaan sepatutnya.
"Jadi saya menyeru mereka yang sihat dan berkelayakan untuk menderma darah dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan hari ini, anggota Jabatan Amal dan orang ramai hadir secara berperingkat untuk menderma darah.
"Pusat Darah Negara (PDN) telah diberi pelepasan untuk aktiviti pendermaan darah kerana ia penting untuk memastikan bekalan darah mencukupi bagi pesakit yang memerlukan," katanya.
Beliau turut menjelaskan, pihak HSNZ membuat inisiatif dengan mengadakan program pendermaan di luar berikutan stigma tentang Covid-19 yang membimbangkan orang ramai untuk hadir ke hospital.