Dr Azman Pujuk Ikan Balik Semula

Dr Azman Ibrahim (kiri) bersama Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Haji Yahaya Ali meninjau unjam yang dipamerkan. Foto - Solahuddin Al-Idrus
Oleh: Rohayati Ripin

MARANG - Usaha melabuhkan unjam ini ialah usaha segera jangka pendek yang bertujuan untuk memujuk supaya ikan balik semula ke zon tangkapan nelayan pantai.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kita berusaha, berdoa dan bertawakal dengan keyakinan bahawa rezeki di darat, laut dan udara ialah milik Allah.

"Alhamdulillah sebanyak 51 unjam daun kelapa berjaya dilabuhkan menggunakan 17 buah bot milik ahli Persatuan Nelayan Kawasan Marang.


"Agenda pagi ini kita nak sebuah rumah ikan.

"Rumah mahal kita panggil tukun, rumah murah kos rendah kita buat unjam," ujarnya.

Tambah beliau, kita mendengar aduan nelayan pantai tentang kurangnya hasil tangkapan ikan yang menjadi sumber rezeki.

"Pencerobohan nelayan asing dan pencerobohan bot pukat tunda di zon tangkapan nelayan pantai antara punca yang kita telah kenal pasti.


"Bot pukat kokok yang menceroboh masuk ke kawasan nelayan pantai bukan setakat dia kokok hasil laut, tapi habis bubu dan unjam dikokok sekali.

"Di tepi Pantai Seberang Takir, seorang nelayan berusia sekitar 60 tahun menitiskan air mata mengadu masalah ini kepada saya.

"Suara dari bawah ini kita telah angkat ke atas kerana urusan perlesenan dan penguatkuasaan berada dalam bidang kuasa Kerajaan Pusat.

"Hal urusan di laut melibatkan beberapa agensi dan jabatan seperti Jabatan Perikanan, Jabatan Laut dan Maritim Malaysia.

"Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang juga telah mengajukan permohonan kepada saya untuk dibina sebuah bilik sejuk beku, tempat baiki bot dan tempat simpanan bot enjin sangkut.


"Saya dah minta Pengarah LKIM agar permohonan ini dapat dimasukkan dalam bajet tahun depan insyaAllah.

"Doakan semoga dipermudahkan urusan pimpinan negeri kita dalam urusan mengembalikan royalti hak rakyat Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Melabuh Unjang Perairan Marang di Jeti Pelancongan Marang, hari ini (26 Ogos).

Sementara itu, Dr Azman Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi turut mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri yang sudi hadir ke majlis tersebut.


"Saya berterima kasih kepada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan Haji Yahaya Ali yang dapat meluangkan masa hadir bersama kita pagi ini.

"Penghargaan dan terima kasih juga saya ucapkan kepada Pengarah dan seluruh kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, PNK Marang dan seluruh warga nelayan Marang atas kerjasama yang sangat baik untuk menjayakan program ini.

"Belum terlambat juga untuk saya rakamkan ucapan syabas dan tahniah atas usaha PNK Marang mengapungkan dan menarik balik ke jeti bot saudara kita yang tenggelam di perairan Pulau Kapas bulan lepas," jelasnya.


Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.


Tag: