• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

DUAT Semai Islamisasi Di Hati Masyarakat


Oleh : Aziz Hambali

SETIU, 29 September - Kerajaan Terengganu menerusi Akademi DIDIK ULAMA Amilin Terengganu (DUAT) memandang serius keperluan mendesak masyarakat dalam aspek kefahaman Islam yang sebenar.

Pengarah Akademik DUAT, Ustaz Ramlan Hj Mahmood berkata, atas kesedaran itu Akademi DUAT tampil membawa solusi dengan mempelbagaikan pendekatan dakwah yang terbaik dan sesuai dengan sosial dan budaya masyarakat setempat.


"Usaha ini penting dalam memastikan masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang didedahkan dengan kefahaman Islam dengan methodologi dakwah yang betul dan tepat agar nanti implikasinya di tahap pencapaian maksimum.

"Terbaharu, kami bersama dai'e-dai'e Terengganu berkampung di perkampungan Pulau Redang mengadakan Misi Dakwah dan Hiking Dai'e Challenge yang sarat dengan pengisian kefahaman agama seperti edar risalah, ceramah agama dan sumbangan kebajikan buat penduduk Pulau Redang," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai program Misi Dakwah dan Hiking Dai'e Challenge Terengganu bertempat di Kampung Pulau Redang, baru-baru ini.

Katanya, apa yang menarik, Akademi DUAT juga menganjurkan Hiking Dai'e Challenge dengan para dai'e mendaki bukit di pulau tersebut sambil memacak beberapa banting dakwah untuk tatapan penduduk juga pelancong di perkampungan itu.

"Selain misi dakwah dari rumah ke rumah sambil mengagihkan sumbangan, kami juga mengadakan Hiking Daie Challenge Pulau Redang dalam masa yang sama memacak banting-banting berunsurkan mesej dakwah di sekitar perkampungan tersebut," katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak MPKK Pulau Redang dan Pejabat ADUN Batu Rakit yang memberi kerjasama yang sangat baik dalam merealisasikan misi dakwah tersebut.

Dalam perkembangan yang sama, usaha ini disambut baik oleh penduduk Kg Pulau Redang dalam menyebarluaskan syiar Islam yang sebenar melalui pendekatan dakwah yang menarik dan berkesan. Salah seorang penduduk, Zainab Mohammad ketika ditemui memuji program yang dianjurkan Akademi DUAT ini.

"Alhamdulillah selesai program ziarah mengedar risalah dakwah dan sumbangan kepada golongan yang tidak bernasib baik dan muaalaf. Tinggi harapan saya agar pihak kerajaan membawakan ceramah berkelompok, didikan agama di lapangan secara berterusan kepada penduduk pulau ini sebab kami di sini tiada pengisian semua itu kecuali di masjid,

"Realiti terpaksa ditelan, masyarakat di sini agak tertutup. Kebanyakan orang pulau ini tidak turun ke masjid dan pendekatan dakwah secara langsung di lapangan sebegini amatlah ditagih dan diharapkan," katanya.








Tag: