Oleh: Mohd Asraf
DUNGUN, 1 Julai - Kejayaan program Jelajah Memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 baru-baru ini turut mengangkat daerah Dungun sebagai “Syurga Kaki Pancing” baharu di Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik menyatakan keterujaan apabila semakin ramai kaki pancing tertarik untuk berkunjung ke daerah berkenaan.
“Saya melihat ramai yang datang ke Dungun untuk memancing kerana katanya, di sini syurga ikan tenggiri.
"Antara lokasi tumpuan adalah kawasan berdekatan Pulau Tenggol dan ramai yang menyewa bot untuk ke sana,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu yang hadir merasmikan acara berkenaaan memaklumkan, program-program seumpamanya akan merancakkan lagi ekonomi tempatan sekali gus berjaya membantu meningkatkan industri pelancongan domestik.
Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Nasir Kushairi turut hadir memeriahkan program itu.
Tinjauan media di sekitar Pantai Teluk Gadung dan Teluk Lipat juga mendapati, hampir semua homestay habis ditempah dan rata-rata hotel menerima kemasukkan yang tinggi sempena penganjurannya.
Malah, rezeki seorang peniaga ais milo kepal juga mencurah-curah apabila beliau berjaya menjual 200 ais kepal bermula dari jam lapan pagi hingga 1.30 petang dengan anggaran pendapatan RM500 untuk setengah hari.