e-BECA Diperkenal Bantu Tingkat Pendapatan Pengayuh

KUALA TERENGGANU, 2 Jun- Inovasi baharu, e-BECA telah diperkenalkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan pendapatan pengayuh beca dan merancakkan industri pelancongan di Terengganu.

Timbalan Menteri MOSTI, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata. transformasi yang pertama di Malaysia itu dilakukan bagi memastikan industri beca di negeri ini tidak akan pupus.

"Idea ini datang melalui Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021 secara dalam talian semasa fasa Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan.

"Inovasi ini mampu membantu 20 pengusaha beca yang sudah berusia untuk meneruskan pencarian rezeki mereka dengan menggunakan sistem yang lebih mudah tanpa menggunakan kudrat yang banyak.

"Ia menggunakan tenaga solar, dan tidak perlu banyak berkayuh serta boleh bergerak dalam tempoh yang lebih lama sehingga berupaya untuk beroperasi selama 24 jam, selain ia masih mengekalkan ciri-ciri sedia ada,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media, selepas merasmikan Majlis Pelancaran e-BECA, di Dataran Syahbandar, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital 2, Abdul Razak Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri, Anuar Awang, Timbalan Ketua Setiausaha MOSTI, Dr. K. Nagulendran, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh.

Mengulas lanjut inovasi berkenaan katanya ia dihasilkan melalui kerjasama antara YIM, SME Corp, Malaysia dengan disokong oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Jabatan Pelancongan negeri serta Persatuan Pelancongan Terengganu.

"Teksi Terengganu ini selain rekaannya yang moden ia turut dinaiktaraf dengan menggunakan paparan skrin LED bagi penyampaian maklumat dan promosi serta dilengkapi dengan sistem audio yang menarik saya merasa bangga dengan apa yang dibuat oleh 'innovator' tempatan ini.

"KIta juga akan turut membincangkan agar bayaran dikenakan nanti adalah berpatutan dan bersesuaian, jika dikenakan pada kadar mahal maka ia tidak akan lagi menarik dalam masa yang sama kita hendak pastikan ia mampu menjana pendapatan yang lumayan kepada golongan B40 serta menarik golongan muda untuk turut menceburi bidang perkhidmatan ini bagi dijadikan sebagai kerjaya," ujarnya.

Sementara itu, Pengayuh Beca, Abdullah Mohamad, 64, berkata, inovasi tersebut sangat membantu untuknya terus terbabit dalam perusahaan berkenaan yang telah diceburinya semenjak 40 tahun lalu.

"Saya tidak lagi rasa penat sebagaimana sebelum ini, hendak ke sesuatu tempat pun lebih cepat, dimana ia sangat ringan berbanding beca yang saya ada sebelum ini, jadi ini suatu yang sangat baik.

"Sangat membantu dari sudut penambahan pendapatan, jika sebelum ini berupaya untuk beroperasi dalam masa yang singkat selepas ini dapat berkerja lebih lama untuk memenuhi kehendak pelancong-pelancong yang datang bertandang ke negeri ini," katanya lagi.