Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 1 Mac – Kedudukan ekonomi Malaysia bergerak ke arah positif pada tahun ini selari dengan aktiviti perdagangan dunia yang semakin pulih sejak menghadapi pandemik COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus.
"Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7.0 peratus dan 6.7 peratus.
“Prestasi memberangsangkan melihat pasaran bon mencatatkan aliran masuk sebanyak RM23.1 bilion sehingga Ogos 2020 dan pelaburan asing bersih meningkat kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020 berbanding RM22 bilion dicatatkan pada suku kedua 2020.
“Antara faktor keyakinan pelabur luar ini kerana usaha giat kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung hari ini, di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ketua-ketua jabatan kerajaan dan swasta.
Sebelum ini Ahmad Samsuri menyifatkan kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Perdana Menteri Malaysia berada di landasan baik dalam mengurangkan ketidaktentuan politik dan meningkatkan kedudukan ekonomi meskipun dalam pandemik COVID-19.
"Tahniah diucapkan kepada Perdana Menteri dan barisan kepimpinan negara yang bertungkus-lumus dengan pelbagai agenda demi kesejahteraan rakyat dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan walaupun negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya pandemik COVID-19 ketika ini.
"Kerajaan negeri menyambut baik perkara yang disampaikan terutamanya agenda pemerkasaan bumiputera, usaha untuk membasmi kemiskinan dan pembangunan negara," katanya menerusi ciapan di halaman Facebooknya.