Empangan Kenyir Bukan Penyebab Banjir
HULU TERENGGANU, 4 Januari - Banjir yang berlaku di beberapa daerah di Terengganu, Kelantan serta Pahang bukan berpunca dari pelepasan air di Tasik Kenyir.
Ketua Sekteriat Pengurusan Bencana Terengganu, Che Adam A. Rahman berkata, bacaan paras air di Empangan Stesen Hidroelektrik Sultan Mahmud di Tasik Kenyir ketika ini ialah 142.63 meter dan masih berada pada paras normal, dengan tahap bekalan penuh 145 meter.
Justeru itu katanya, orang ramai tidak perlu cemas dengan berita yang tular mengatakan berlaku pelepasan air yang tidak terkawal dari Empangan Kenyir sehingga menyebabkan banjir di hiliran.
"Sebenarnya tidak ada kena mengena antara banjir di Kelantan dan Pahang dengan Tasik Kenyir.
"Ini adalah kerana bentuk muka bumi di Terengganu, Kelantan dan Pahang adalah berbukit yang merupakan sempadan yang sangat tinggi melebihi 1,000 meter jadi kebarangkalian air keluar ke sebelah sana adalah tidak tepat dan mustahil untuk berlaku.
“Air di Tasik Kenyir ini hanya keluar melalui Sungai Terengganu dan tiada saluran lain selain sungai ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir dan Stesen Janakuasa di sini hari ini.
Katanya, empangan berkenaan sebenarnya berfungsi sebagai sistem tebatan banjir bagi mengelak berlaku bencana lebih buruk terutama di kawasan hilir sungai.
"Tinjauan hari ini mendapati keadaan paras semasa di Tasik Kenyir masih lagi 142.63 yang mana masih jauh daripada paras alur limpah.
"Oleh itu, saya mohon mana-mana pihak tidak sebarkan makluman atau siaran video yang lama kerana akan gusarkan penduduk setempat yang menyebabkan masyarakat takut dan sebagainya.
"Pihak kami sentiasa berhubung rapat dengan Tenaga Nasional Berhad(TNB) bagi memastikan kesiapsiagaan paras air di empangan ini untuk pastikan berada tahap terbaik dan tidak ada berlakunya takungan air yang kritikal,"katanya.
Tambah beliau, proses alur limpah bagi setiap empangan adalah normal jika ia berlaku.
"Sejak empangan ini dibuka pada 1985, rekod mencatatkan hanya 10 kali limpahan termasuk yang terakhir pada 2017 kerana pihak Tenaga Nasional Berhad telah mengawal kestabilan paras air setiap awal tahun," ujarnya.
Untuk rekod, Tasik Kenyir yang berkeluasan 370 kilometer persegi itu mula dibina pada tahun 1978 dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 1985 dengan kawasan tadahannya seluas 1,260 kilometer persegi.