'Insya-Allah, Empat Kerusi Dalam Genggaman PAS'

KUALA TERENGGANU, 14 November- Kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu, Dungun dan Kuala Nerus diyakini berada dalam gengaman PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) Sabtu ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, keyakinan itu berdasarkan maklumat risikan yang diperolehi daripada jentera, penyokong dan akar umbi parti.

Katanya, PAS juga tetap berpeluang besar untuk menang di Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman walaupun saingan agak sengit.

"Ini kerana kempen lawan terutama Barisan Nasional (BN) sangat 'sejuk', lesu dan tidak serancak PAS terutama dari segi kekerapan ceramah dan pemasangan poster, kain pemidang dan bendera parti di seluruh Terengganu.

"Nampaknya BN tak begitu bersungguh dalam PRU-15, pos (markas) pun ada buka sekejap kemudian tutup, ceramah pun tak ada sangat seperti PAS sekurang-kurangnya mesti ada empat ceramah di setiap Parlimen setiap malam.

"Calon lain seperti PH (Pakatan Harapan) dan GTA (Gerakan Tanah Air) serta calon Bebas tidak ada impak yang besar, kerana pertandingan ini seolahnya hanya antara PAS dan UMNO, jadi kita nampak memang kita masih mendahului di semua lapan kerusi Parlimen Terengganu," katanya dalam sidang media hari ini.