ExxonMobil Sumbang RM462 Ribu Untuk Perkasakan Program STEM, BI
Pembangunan dana insan di Terengganu terutama di bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Bahasa Inggeris terus dilihat sebagai inisiatif penting apabila Subsidiari-Subsidiari ExxonMobil di Malaysia (ExxonMobil) menyampaikan sumbangan RM462,000 kepada kerajaan negeri, hari ini.
Sumbangan kewangan itu melibatkan program Anugerah Pelajar cemerlang STEM yang dilancarkan sejak tahun lalu kepada pelajar Tingkatan Lima dan sekolah menengah berjumlah RM80,000, Pertandingan Inovasi Matematik ExxonMobil Terengganu (TExMIC) (RM40,000), Spark Your Creativity (SYCC) (RM42,000), ExxonMobil-UKM Club @ Terengganu (RM250,000) dan Bengkel English Bersama Pembantu Pengajar Bahasa Inggeris (ETA) (RM50,000).
Sementara bantuan 24 unit komputer riba turut diagihkan untuk program Terengganu-ExxonMobil Resource Information Centre (TERIC) dan program Children Cyber Corner di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu dan Pelantar Bestari di Besut, Setiu serta Marang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, sumbangan besar itu mampu memperkasakan lagi pendidikan negeri serta membangunkan modal insan yang cemerlang di bidang STEM khasnya.
“ExxonMobil menyediakan peruntukan kepada kerajaan negeri yang sebahagian besar disalurkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, selain kepada Pusat Sains Dan Kreativiti Negeri, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu selain berkolaborasi dengan pusat pengajian awam seperti Universiti Kebangsaan Malaysia dalam merealisasikan hasrat kita menerusi program STEM.
“Kerajaan negeri amat berterima kasih dengan komitmen ExxonMobil sejak puluhan tahun lalu yang tanpa jemu mahu memastikan bidang pendidikan Terengganu sentiasa meningkat maju,”katanya.
Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan ExxonMobil untuk Program Pendidikan dan Kemasyarakatan Negeri Terengganu 2017 itu, disaksikan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di Hotel Primula Beach, hari ini.
Sementara Pengerusi Subsidiari ExxonMobil di Malaysia, Edward Graham berkata, pembangunan dana insan penting untuk memastikan semua sektor industri, perniagaan dan kerajaan mempunyai bekalan bakat-bakat STEM baru yang berkebolehan secara berterusan untuk memenuhi keperluan peredaran masa serta persekitaran semasa yang mencabar.
Katanya, Exxonmobil membina hubungan yang rapat dan produktif dengan komuniti diTerengganu sejak empat dekad lalu apabila syarikatnya berusaha untuk meningkatkan manfaat sosio ekonomi dari operasinya menerusi pelaburan strategik dalam komuniti.