lightning-solid
Berita :
Felda Selasih FC Juara Piala ADUN Jabi 2026
Felda Selasih FC Juara Piala ADUN Jabi 2026
Hidayah Azlin
5 jam yang lepas
43

SETIU, 23 Ogos – Pertandingan akhir Kejohanan Bolasepak Piala ADUN Jabi 2026 berlangsung dengan penuh warna-warni dan dramatik apabila Felda Selasih FC dinobatkan sebagai juara selepas menewaskan Apal Group FC dengan keputusan 1-0.

Perlawanan yang berjalan dengan tempo tinggi dan sengit itu menyaksikan pengadil bertindak tegas demi mengawal suhu perlawanan dengan melayangkan empat kad merah dan dua kad kuning kepada pemain.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata, biarpun aksi di padang agak panas, ketegasan serta kebijaksanaan mutu pengadilan berjaya mengendalikan perlawanan hingga wisel penamat.

"Suhu panas berjaya disejukkan dengan baik. Tenang-tenang saja set kito, bukan orang lain, awok-awok Jabi blako," katanya selepas selesai Kejohanan Bolasepak Piala ADUN Jabi 2026 di Padang Bola Tasek Mengkuang, di sini.

Majlis penutup kejohanan turut menyaksikan penyampaian anugerah individu dan pasukan.

 Nik Mohamad Khairul Azmi Mamat dinobatkan sebagai Penjaga Gol Terbaik, manakala Nik Mohammad Fazlie Nik Jaafar meraih anugerah Pertahanan Terbaik.

Manakala, anugerah Pemain Tengah Terbaik disandang oleh Mohamad Hafiz Hakimi Arif, manakala Muhammad Haiqal Ikram Che Rosli dipilih sebagai Penyerang Terbaik. Gelaran Penjaring Terbanyak Kejohanan pula milik Alif Adham Razali.

Bagi kedudukan keseluruhan kejohanan, tempat ketiga disandang oleh Kampung Bukit Tanah FC, diikuti Tasek Mengkuang FC di tempat keempat. Kedudukan kelima hingga kelapan masing-masing diisi oleh Jabi City FC, Tasek Tok Lebai FC, Apal FC, dan Bharu Tok Dor FC.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Penganjur Liga Jabi akan segera mengadakan mesyuarat postmortem bagi meneliti laporan teknikal kejohanan demi penambahbaikan pada masa hadapan.

Kejohanan yang melabuhkan tirainya secara rasmi itu turut mendapat penghargaan daripada pihak penganjur kepada Pengarah dan Urusetia Kejohanan, Persatuan Pengadil Daerah Besut, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pasukan yang bertanding, serta seluruh warga Jabi yang hadir memeriahkan suasana dari awal hingga akhir. Penganjuran kejohanan ini dijadualkan kembali menyapa peminat bola sepak tempatan pada tahun 2027.


Tag :

Artikel Berkaitan