Berita :
Festival Pemanah Antarabangsa Himpunkan 1,500 di TER
Festival Pemanah Antarabangsa Himpunkan 1,500 di TER
Amirul Mohd
6 jam yang lepas
76

KUALA TERENGGANU, 4 Julai – Festival Memanah Antarabangsa mencipta sejarah apabila menghimpunkan seramai 1,500 peserta dari dalam dan luar negara pada kejohanan yang berlangsung di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Kejohanan yang dianjurkan oleh Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu itu menjadi antara festival memanah tradisional terbesar di rantau ini dengan penyertaan pemanah dari beberapa negara Asia termasuk Vietnam, Thailand dan Indonesia.

Pengerusi Persatuan Memanah Tradisional Negeri Terengganu, Mohd Ridzuan Talib, berkata penganjuran kali ini merupakan satu detik bersejarah buat sukan memanah tradisional di negeri ini apabila berjaya menghimpunkan komuniti pemanah dari pelbagai negara dalam suasana penuh semangat kesukanan dan persaudaraan.

Menurut beliau, kejayaan festival tersebut turut didorong oleh sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Terengganu serta pelbagai agensi yang sentiasa komited dalam membangunkan sukan memanah tradisional.

"Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu serta Urus Setia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT), selain para penaja yang bersama-sama menjayakan festival ini," katanya.

Beliau berkata, pelbagai kategori dipertandingkan sepanjang festival bagi memberi peluang kepada penyertaan daripada pelbagai peringkat umur, termasuk kategori cilik, remaja, dewasa lelaki dan dewasa wanita.

Katanya, pertandingan akan diteruskan pada hari berikutnya dengan mempertandingkan kategori dewasa serta veteran yang dijangka terus mendapat sambutan menggalakkan.

Mohd Ridzuan turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang hadir dan berharap festival berprestij itu terus menjadi platform memperkukuh hubungan persahabatan antara pemanah dari pelbagai negara, di samping mempromosikan Terengganu sebagai destinasi sukan dan pelancongan bertaraf antarabangsa.

"Syabas dan tahniah kepada semua peserta yang mengambil bahagian. Semoga Program ini akan terus berkembang sebagai acara tahunan yang mampu mengangkat martabat sukan memanah tradisional di peringkat antarabangsa," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan