Oleh : Amiirullah Mansor
DUNGUN, 18 Jun - Sambutan Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan negeri (DUN) Paka dan Majlis Kesyukuran Perkahwinan secara serentak memberikan satu kelainan dalam program kali ini dan berjaya menarik perhatian pengunjung.
Penyelia Institut Modal Insan (i-Mits) Dungun, Ustaz Jamaluddin Jusoh Al-Hafiz berkata suasana sambutan raya kali ini lebih besar berbanding tahun yang lepas.
“Setinggi syukur dipanjatkan kehadrat ilahi kerana kita dapat menjayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri DUN Paka dan dianjurkan juga Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan puteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Sarah Najwa Satiful Bahri dengan pasangannya Muhammad Wirdan Shahidan.
“Kita dapat lihat kiri dan kanan terdapat dua ‘photobooth’, yang mana satu untuk Aidilftri dan satu untuk majlis kesyukuran yang dapat menarik lebih ramai penduduk Paka,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilftri DUN Paka di Dataran PGU, Paka semalam.
Menurutnya, dengan adanya majlis ini sekaligus dapat mempertemukan semua penduduk masyarakat berada dalam kawasan Paka.
Selain itu, penglibatan dalam penganjuran pada kali ini juga dapat membuktikan satu kombinasi yang menarik dan cemerlang daripada setiap cawangan yang memberikan kerjasama bagi menjayakan hari bersejarah ini.
“Kita berharap gabungan setiap cawangan ini terus subur sampai bila - bila supaya keeratan ini akan mewujudkan kekuatan sesama masyarakat dalam era untuk mempertahankan kemenangan,”katanya lagi.
Sementara itu, Penasihat program, Ustaz Saiful Bahri Mamat mengucapkan jutaan terima kasih kepada panitia program, cawangan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Muslimat dan Pemuda PAS DUN Paka serta individu yang terlibat kerana menjayakan program ini.
“Kepada tetamu yang berkesempatan hadir dari Menteri Besar Terengganu hingga seluruh warga Paka yang sudi hadir memeriahkan majlis semoga Allah memberi ganjaran yang baik,” katanya.