Sultan Terengganu berkenan merasmikan program Malaysian International Seminar on Antarctica (MISA) di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini. Foto Harish Fadzillah Kassim |
Kerajaan negeri bercadang membuka galeri Antartika di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dalam tempoh terdekat dengan menempatkan pelbagai bahan pameran dan contoh kelengkapan bahan kajian sains Antartika.
Usaha itu bukan saja mampu menarik minat orang ramai terutama pelajar mendalami ilmu sains biologi, sains fizikal dan alam sekitar Antartika malah berupaya berkongsi ilmu antara penyelidik dari pelbagai negara.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata inisiatif itu akan diusulkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya mampu direalisasikan tidak lama lagi.
Katanya, keyakinan ke arah itu sangat tinggi kerana pihak berkaitan sedang berusaha dengan menaja beberapa pelajar cemerlang mendalami ilmu astronomi, kejuruteraan, al-Quran di beberapa universiti di United Kingdom.
“Pelajar sama juga mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran dan menguasai serta kebijaksanaan emosi menerusi Program Saintis Islam Terengganu.
“Segala ilmu dan kepakaran mereka kelak akan dikumpul di PSKT sebagai bahan rujukan untuk generasi akan datang,”katanya.
Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas program Malaysian International Seminar on Antarctica (MISA) di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan majlis yang dihadiri 100 peserta terdiri daripada saintis tempatan dan luar negara.
Turut hadir , Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Wan Nawawi Wan Ismail dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Madius Tangau.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar.
Hadir sama, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dato' Dr Nor Aieni Mokhtar.
Sementara itu, Madius berkata, MOSTI melalui Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan UMT akan terus bekerjasama erat dengan penyelidik dari pelbagai institusi serta negara berkaitan penyelidikan di Antartika dan Artik sekali gus membuktikan kemampuan para saintis Malaysia setanding saintis-saintis global.
“Pada kali ini, seramai 100 penyelidik dari dalam dan luar negara terlibat untuk berkongsi pengalaman serta idea pada program MISA anjuran UMT,”katanya.