Anak-anak muda yang melepak di kawasan sekitar turut diedarkan pek sahur. |
DUNGUN, 3 Jun - Skuad Ziarah Sahur Pemuda Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang mengedarkan pek makanan sahur kepada pemuda-pemuda yang melepak dan berpelesiran di sekitar kawasan berkenaan.
Ketua Kebajikan Pemuda DUN, Utbah Hassan mengulas reaksi spontan para pemuda yang terkejut dengan pemberian tersebut.
“Mereka kelihatan teruja dengan pemberian itu. Kami sempat juga menasihati mereka agar tidak sesekali melupakan suruhan Allah SWT dan mensia-siakan bulan Ramadan yang datang setahun sekali," katanya ketika dihubungi kelmarin.
Menurutnya, program agihan pek sahur yang dijalankan tahun ini melibatkan sebanyak 23 buah lokasi persinggahan terdiri daripada pejabat-pejabat kerajaan, kedai serbaneka, sekolah, surau dan masjid yang bermula 11.30 malam sehingga 2.00 pagi.
"Lebih kurang 170 pek makanan sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun telah diedarkan termasuk kepada orang ramai yang berqiamulail di surau-surau dan masjid-masjid," jelasnya yang juga teruja dengan sambutan yang diterima.